Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subahan Kamal sah tidak mempertahankan jawatannya menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Kongres FAM kali ke-57 yang akan berlangsung pada 13 Mac depan.
Berdasarkan senarai 27 calon layak bertanding dalam pemilihan bagi penggal 2021-2025 dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan FAM hari ini, hanya nama Mohd Yusoff Mahadi dan S. Sivasundaram menjadi calon bagi mengisi dua jawatan Timbalan Presiden.
Perebutan empat kerusi naib presiden pula menyaksikan bekas Timbalan Presiden FAM, Afandi Hamzah mengintai peluang kembali bersama badan induk bola sepak negara itu selepas gagal mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kongres kali ke-53 pada 2017.
Beliau yang turut pernah memangku jawatan presiden FAM antara lima calon bertanding bagi kerusi itu selain Rosmadi Ismail, Datuk Posa Majais, Mohd Joehari Mohd Ayub dan Mohd Firdaus Mohamed.
Pada masa sama, persaingan sengit dijangka berlaku dalam perebutan kerusi ahli jawatankuasa eksekutif apabila keenam-enam penyandang sebelum ini bakal dicabar 11 muka baharu bagi mengisi keseluruhan lapan kerusi yang dipertandingkan.
Dalam kalangan 11 muka baharu itu, ada individu yang pernah dan sedang memegang jawatan penting dalam persatuan bola sepak (FA) negeri.
Antaranya bekas timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Adly Shah Ahmad Tah, pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Shaari Mat Hussain dan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Shahril Mokhtar.
Sementara itu, Hamidin Mohd Amin dijangka menang tanpa bertanding jawatan presiden FAM penggal 2021-2025 selepas muncul calon tunggal sementara Datuk Suraya Yaacob dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah pula tidak dicabar bagi mengisi dua jawatan sebagai ahli jawatankuasa eksekutif wanita.
“Selepas tarikh akhir untuk calon-calon berkenaan mengembalikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan tersebut pada 5.30 petang semalam, 27 calon telah menyatakan penerimaan mereka untuk dicalonkan bagi jawatan yang dinyatakan dan satu telah menolak pencalonan beliau.
“Pada masa sama, proses saringan integriti dilakukan Unit Integriti FAM membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia mendapati kesemua 27 calon lulus saringan itu,” menurut Jawatankuasa Pemilihan FAM dalam kenyataan hari ini.
Berikut merupakan senarai calon bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk penggal 2021-2025:
Presiden: Hamidin Mohd Amin
Timbalan Presiden:
Mohd Yusoff Mahadi
S.Sivasundaram
Naib Presiden:
Rosmadi Ismail
Posa Majais
Mohd Joehari Mohd Ayub
Mohd Firdaus Mohamed
Afandi Hamzah
Ahli Jawatankuasa Eksekutif:
Mohd Hisamudin Yahaya
Jefferey Low Han Chau
Christopher Raj Aralanthu
Shahril Mokhtar
ACP (B) Md Dali Wahid
Kamarul Ariffin Mohd Shahar
Aminuddin Omar
N. Saaran
Adly Shah Ahmad Tah
Shaari Mat Hussain
Abdul Aziz Yeop Jamaludin
ACP Zulkefly Yahya
Syed Yazid Syed Omar
Muhammad Yadzan Mohammad
Mohd Firdaus Ahmad
Mohd Yusuri Yusof
Kamarudin Hassan
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita
Suraya Yaacob
Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah
-Bernama
