Hamidin nyata hasrat lepas jawatan presiden MFL
Selepas berjaya mempertahankan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk penggal kedua berturut-turut, Hamidin Mohd Amin menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam masa terdekat.
Beliau berkata keputusan itu muktamad dan dibuat bagi memberikan sepenuh tumpuan dalam memajukan FAM.
Menurut Hamidin, jawatan presiden MFL akan dilepaskan selepas beliau melakukan penstrukturan dalam badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu dalam tempoh dua bulan akan datang dan terserah kepada Lembaga Pengarah MFL untuk memilih presiden baharu.
“Setelah sokongan yang kuat diberikan ahli gabungan, saya perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada FAM dalam memajukan pasukan kebangsaan, futsal, bola sepak pantai, pembangunan akar umbi dan banyak lagi.
“Biarlah individu seterusnya memikirkan cara meningkatkan MFL dan saya juga tidak perlu tamak kuasa. Tetapi saya akan terus menyokong MFL,” katanya pada sidang media Kongres FAM ke-57, di Putrajaya, hari ini.
Pada kongres tersebut, Hamidin mempertahankan kerusi nombor satu FAM untuk penggal 2021-2025 selepas menang tanpa bertanding, sekali gus menyandang jawatan itu buat penggal kedua.
Hamidin dilantik sebagai Presiden MFL secara sebulat suara oleh Lembaga Pengarah MFL pada September 2019 yang menyaksikan beliau mengambil alih teraju daripada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Pengerusi MFL.
Dalam pada itu, antara pembaharuan yang bakal dilakukan Hamidin dalam FAM ialah mewajibkan kad laporan penilaian bagi barisan Exco selain melihat potensi sektor pelancongan bola sepak yang akan diperincikan dalam mesyuarat Exco akan datang.
“Pengenalan kad laporan itu termasuk untuk diri saya akan diumumkan dalam setiap kongres pada masa depan, itu adalah mustahak untuk semua Exco FAM supaya apabila sudah menang mereka perlu buat kerja,” katanya.
-Bernama

