Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tony Fernandes bersedia menerajui Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) jika dicalonkan bagi menggantikan Hamidin Mohd Amin.

Pemilik kelab Queen Park Rangers (QPR) itu berkata sebagai seorang peminat bola sepak, sudah tentu dia mahu menyumbang kepada pembangunan bola sepak tempatan jika dipilih menyandang jawatan presiden MFL pada masa hadapan.

“Sudah tentu saya mahukannya... saya sayangkan bola sepak, saya sayangkan Malaysia dan saya harap dapat menyumbang sesuatu,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Terdahulu, Tony yang juga pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menandatangani lanjutan perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadikan Stadium Nasional sebagai gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya hingga 31 Dis 2025.

Hamidin yang menang tanpa bertanding sekali gus mempertahankan jawatannya sebagai Presiden FAM pada Sabtu lepas mahu melepaskan jawatannya sebagai Presiden MFL.

Sementara itu, Hamidin menyerahkan kepada Lembaga Pengarah MFL untuk membuat keputusan berhubung calon penggantinya mengikut peraturan ditetapkan badan pengelola MFL.

“Saya rasa Tony seorang individu yang sayangkan bola sepak, mungkin dia seorang daripada calon, itu saya tidak pasti. Biarlah mereka (lembaga pengarah) bincang, calon bukan datang daripada saya,” katanya.

Mengenai kriteria calon, Hamidin berkata individu berkenaan mestilah seorang yang memahami bola sepak selain berdaya saing dan mempunyai idea baru untuk membangunkan sukan nombor satu negara itu ke tahap lebih tinggi.

Dalam perkembangan lain, Hamidin yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2021 berkata pihaknya belum menetapkan sebarang sasaran untuk skuad bola sepak Bawah-19 yang bakal bersaing di temasya dwitahunan itu hujung tahun ini.

- Bernama