Pemain dan pegawai pasukan Liga Malaysia (Liga-M) perlu terus berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan lagi apabila mereka dijadual menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula Mei ini.

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican berkata kesemua pemain dan pegawai pasukan bertanding akan menerima suntikan itu pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau berkata ia selepas seramai 264 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo menerima suntikan itu bulan depan.

“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) mengemukakan 4,000 nama dan ia dipecahkan kepada empat fasa, bagi Liga-M masuk dalam fasa kedua dan saya jangkakan fasa kedua akan bermula pada Mei ini.

“Kita juga perlu memadankan dengan jadual bekalan vaksin, setiap kali mereka yang menerima suntikan untuk vaksin, stok satu lagi disimpan untuk kitaran seterusnya,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan saingan Liga SupaRimau di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.

Bulan lepas, KBS mengesahkan senarai nama 4,000 atlet dan pegawai diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin Covid-19 yang telah dihantar kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Dengan perkembangan terbaru itu, sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pasukan yang akan bertanding pada kejuaraan serantau selain skuad Harimau Malaya yang akan meneruskan baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.

-Bernama