Malaysiakini
SUKAN

MFL rancang sambutan 'luar biasa' rai 100 tahun Piala Malaysia

Diterbitkan

Sempena ulang tahun ke-100 Piala Malaysia tahun ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merancang menganjurkan sambutan ‘luar biasa’ bagi mengimbau kembali memori indah peminat sukan tanah air mengenai kejohanan bola sepak berprestij itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Ab Ghani Hassan berkata mengikut perancangan, badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu akan melipatgandakan promosi kejohanan itu dengan mengadakan pameran besar-besaran di sekolah, lokasi terpilih seperti pusat beli-belah serta melalui platform digital.

“Kami mahu masyarakat mengingat kembali nilai sejarah Piala Malaysia seperti senarai pasukan bertanding dan juga legenda bola sepak yang pernah mewarnai kejohanan ini.

"Kami akan cuba lakukan luar biasa tahun ini,” katanya pada sesi ramah mesra bersama media di Ibu Pejabat MFL di Kelana Jaya, hari ini.

Sebelum ini, MFL hanya mempromosi saingan Piala Malaysia menerusi platform media, termasuk media sosial badan pentadbir Liga-M itu, selain peranan penaja yang turut menyumbang dalam memeriahkan kejohanan tersebut.

Ab Ghani bagaimanapun berkata penganjuran sambutan itu bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda negara ketika ini.

Dikenali sebagai Piala Malaya pada 1921, kejohanan bola sepak yang dianggap antara tertua di rantau Asia itu pernah bertukar nama kepada Piala HMS Malaya pada 1933 sebelum digelar Piala Malaysia sejak 1967.

Selangor memegang rekod sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia apabila memenanginya sebanyak 33 kali.

Sementara itu, Ab Ghani berharap agar penganjuran Piala FA dapat dikembalikan musim depan selepas ia terpaksa dibatalkan buat tahun kedua berturut-turut bagi mengurangkan kepadatan jadual saingan Liga-M susulan pandemik Covid-19.

Dia yakin MFL mempunyai ruang untuk menyusun jadual Piala FA agar dapat dijalankan seperti biasa pada musim 2022 memandangkan tiada lagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, selain kejohanan berpusat seperti Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Piala AFC.

Skuad Harimau Malaya dijadual bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun ini, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), untuk baki saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, dengan ketiga-tiganya berlangsung di venue berpusat di UAE.

JDT akan bersaing di Thailand bagi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2021, manakala Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC bakal beraksi di Singapura untuk peringkat kumpulan Piala AFC 2021, yang diadakan secara berpusat mengikut konsep gelembung sukan pada Jun hingga Julai depan.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.