Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail tenang menyambut keputusan penggantungan 15 tahun daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Malah, Ahmad yang lebih mesra dengan panggilan ‘Tok Mat’ tidak menunjukkan kegusaran mahupun kebimbangan terhadap bentuk hukuman yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) itu.

Malah, beliau juga mempunyai perancangan tersendiri dalam menghadapi tempoh 14 hari yang diberikan ASTAF kepadanya untuk membuat rayuan terhadap empat pertuduhan serta hukuman dikenakan.

“Kita tidak perlu gerun mendengar keputusan yang dibuat oleh ASTAF, tunggulah keputusan mahkamah kerana itu lebih wajar,” katanya ringkas kepada Bernama, hari ini.

Empat pertuduhan terhadap Ahmad atas tindakannya menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF pada 2, 8 dan 24 Feb.

ASTAF menyifatkan ia sebagai satu perbuatan atau kenyataan bertulis yang tidak budiman, menghina atau tidak wajar atau seakan-akan membawa nama tidak baik kepada sukan itu.

Ahmad berkata beliau sememangnya enggan memperbesarkan isu berkenaan ketika ini atau melakukan tindakan yang mampu merosakkan kemuliaan bulan Ramadan serta amalan baik yang dilakukan.

“Maka saya tidak akan buat sebarang kenyataan pada waktu ini. Saya bersedia membuat kenyataan media selepas saya menyambut Hari Raya enam kelak,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib ASTAF mengenakan hukuman penggantungan 15 tahun kepada Tok Mat berkuat kuasa hari ini, selain meminta beliau membayar semula kepada ASTAF sebanyak US$25,000 (kira-kira RM102,900) bagi menampung kos pendengaran jawatankuasa tatatertib itu.

Sekiranya jumlah bayaran itu gagal dilunaskan, Ahmad bakal dikenakan hukuman penggantungan tambahan dua tahun.

Ahmad yang juga bekas Timbalan Presiden ASTAF didakwa atas tindakannya yang menyalahi Undang-undang Kecil ASTAF serta beberapa perkara dalam Perlembagaan badan induk sepak takraw Asia itu termasuk Perkara 5.5.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, Tok Mat digantung masing-masing selama lima tahun daripada sepak takraw di peringkat tempatan dan antarabangsa sementara untuk pertuduhan keempat, beliau digantung selama 10 tahun daripada sepak takraw tempatan dan antarabangsa.

- Bernama