PSM masih aktif di Malaysia, harap selesaikan masalah
Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang bagaikan tinggal nyawa-nyawa ikan berikutan konflik yang melanda persatuan itu, diharap dapat menggunakan ruang yang ada untuk menyelamatkan keadaannya.
Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof berkata pihaknya berharap Majlis Tertinggi dan ahli-ahli gabungan PSM dapat berbincang mencari jalan penyelesaian dan menentukan hala tuju persatuan itu, atas kepentingan pembangunan sepak takraw negara.
Beliau berkata walaupun PSM sudah disingkirkan oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), PSM yang didaftarkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, masih boleh menjalankan aktiviti di dalam negara selagi tidak dibatalkan pendaftarannya.
Namun, Ibrahim berkata sekiranya pembangunan sukan sepak takraw di negara ini terjejas, pihaknya boleh mengambil beberapa tindakan sewajarnya, termasuk membatalkan pendaftaran PSM.
“PSM ada tempoh 14 hari untuk buat rayuan, harap mereka menggunakan ruang ini dan seterusnya mengambil langkah-langkah susulan yang perlu berdasarkan perlembagaan ASTAF dan PSM. PSM dan 17 ahli gabungannya yang terdiri daripada persatuan negeri masih aktif dan giat menggerakkan sukan sepak takraw di Malaysia,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.
Khamis lepas, ASTAF menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta-merta, selepas didapati bersalah ekoran tindakan Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Feb lepas.
PSM bagaimanapun diberi tempoh hingga 3 Jun bagi mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu kepada ASTAF.
Terdahulu, Ahmad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat digantung selama 15 tahun daripada menyertai sebarang aktiviti sepak takraw bermula 6 Mei atas beberapa kesalahan berkaitan surat yang sama.
Lebih parah, setakat ini sembilan ahli gabungan PSM telah menarik balik sokongan terhadap persatuan itu, selepas tiga lagi - Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS) dan Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR) - mengumumkan keluar PSM semalam kerana hilang kepercayaan.
Sebelum ini, Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP), mengumumkan keluar PSM.
Sementara itu, Ibrahim berkata setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa permohonan baharu untuk menubuhkan sebuah badan untuk sepak takraw di peringkat kebangsaan.
“Sekiranya ada permohonan, kita akan lihat. Kita tidak menghalang mana-mana pihak untuk permohonan pendaftaran persatuan, Pesuruhjaya Sukan boleh daftarkan selagi organisasi itu membantu pembangunan sukan.
“Kebiasaannya, untuk penubuhan badan sukan, perlu ada jawatankuasa penaja, sediakan perlembagaan dan sebagainya, selain mendapatkan sokongan daripada ASTAF dan ISTAF (Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa) untuk mewakili sukan berkenaan di Malaysia,” jelasnya.
Ibrahim berkata Pesuruhjaya Sukan selaku badan kawal selia pembangunan sukan di negara ini, akan terus memantau rapat dan memberi perhatian yang serius, selain akan turut mengadakan perbincangan dan memberikan nasihat kepada PSM dan ahli gabungannya.
- Bernama

