Legenda golf negara era 80-an meninggal dunia
Bekas pemain golf negara, Zainal Abidin Mohamed Yusof, meninggal dunia akibat jangkitan pada buah pinggang kira-kira jam 6.30 pagi tadi. Dia berusia 78 tahun.
Perkara itu disahkan oleh abang allahyarham, Sahabuddin Yusof, ketika dihubungi hari ini.
Menurut Sahabuddin, jenazah Zainal Abidin dikebumikan di Kedah kira-kira jam 4 petang tadi.
Zainal Abidin merupakan legenda golf negara pada era 1960-an hingga 1980-an dan pernah mewakili Malaysia di kejohanan golf Piala Dunia sebanyak lima kali, selain Piala Dunhill di St Andrew, Scotland.
Berasal dari Ipoh, Perak, Zainal Abidin dikenali sebagai pemain profesional bersama tiga adik-beradiknya iaitu Khairudin, Sahabuddin dan Nazamuddin.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah petang tadi turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Zainal Abidin menerusi hantaran di Facebook Istana Negara.
"Jasa, khidmat serta bakti allahyarham kepada negara amat dihargai dan pemergian allahyarham merupakan kehilangan besar kepada sukan golf tanah air," demikian menurut hantaran itu.
- Bernama

