Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor edisi ke -10 ditangguh

Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor edisi ke-10 yang dijadualkan berlangsung pada September tahun ini dengan disertai lapan negara di Stadium Hoki Taman Daya, di Johor Bharu, ditunda sekali lagi berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Hoki Johor, Majid Manjit Abdullah berkata kejohanan itu bagaimanapun dijangka dapat diadakan awal tahun depan.

“Kejohanan sepatutnya berlangsung September ini, jadi kami kena buat keputusan dan memaklumkan kepada negara-negara berkenaan untuk membatalkannya disebabkan pandemik Covid-19.

“Tarikh baharu (kejohanan) dijangka pada awal tahun depan iaitu sama ada Januari atau Februari,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata lapan negara yang telah mengesahkan penyertaan bagi edisi ke-10 itu adalah Malaysia, India, Australia, Great Britain, Jepun, Afrika Selatan, Mesir dan Kanada.

“Kesemua negara ini telah mengesahkan penyertaan sejak April lagi dan terdapat tiga negara yang pertama kali menyertai kejohanan ini iaitu Mesir, Kanada dan Afrika Selatan,” katanya.

Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor edisi ke-10 sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 10 Okt tahun lepas, namun pada 3 Jun tahun lepas kejohanan itu dilaporkan ditangguhkan September tahun ini selepas pihak penganjur mengambil kira keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS