Buku ‘Laws of the Game 21/22’ mengenai undang-undang permainan bola sepak kini tersedia dalam versi Bahasa Melayu di laman sesawang rasmi Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) dengan berjudul ‘Undang-Undang Permainan 21/22’.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merupakan pihak bertanggungjawab menerbitkan buku dalam versi Bahasa Melayu itu yang turut dimuat naik dalam pelbagai bahasa lain oleh IFAB.
Menurut kenyataan FAM hari ini, usaha itu merupakan inisiatif bersama Unit Pengadil dan Jawatankuasa Pengadil badan induk bola sepak negara itu bagi memastikan ia dapat dicapai secara lebih meluas di peringkat global.
Penterjemahan buku tersebut diketuai Ahli Jawatankuasa Pengadil FAM Noor Anuar Abdullah Sani dan dibantu oleh Unit Pengadil FAM serta beberapa orang tenaga pengajar pengadil tempatan.
Pada masa ini, buku tersebut terdapat dalam lapan bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Jerman, Perancis, Sepanyol, Rusia, Ukraine, Itali dan Bahasa Melayu yang julung kalinya dipaparkan dan boleh dimuat turun melalui pautan https://www.theifab.com/laws-of-the-game-documents/
-Bernama
