Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
ULASAN | Lapan cadangan untuk Menteri Belia dan Sukan

ULASAN | Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail tampil menjelaskan bahawa bukan setakat 144 orang atlet yang digugurkan daripada program latihan sukan kebangsaan, malah angka sebenar atlet yang dipecat ialah seramai 253 orang.

Itu tidak termasuk atlet yang mengalami pemotongan elaun secara mendadak seperti atlet olahraga negara, Rayzam Shah Wan Sofian, yang mendakwa elaun latihannya dipotong daripada RM2,000 sebulan kepada hanya RM800 sebulan.

Setakat ini, hanya Ketua Pengarah MSN itu sahaja yang berani berdepan media memberikan penjelasan tentang isu yang serius ini. Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu masih diam seribu bahasa.

Isunya sekarang ialah kegagalan menteri mendapatkan peruntukan yang mencukupi sehingga berlakunya kemelut pemecatan beramai-ramai atlet negara.

Jika menteri tidak mempunyai idea, izinkan saya mengemukakan lapan cadangan berikut:

1: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) patut mencari sumber kewangan baru untuk membiayai pembangunan sukan. Sebagai contoh, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), KBS berjaya mendapat persetujuan kabinet untuk menyalurkan RM30 juta dari hasil cukai gula bagi tujuan pembangunan sukan.

2: Di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kini gabungan BN-PN, cabutan khas judi telah ditambah daripada lapan kali setahun menjadi 22 kali setahun bagi setiap syarikat.

Justeru, cukai judi (gaming tax) yang sebahagiannya disalurkan kepada pembangunan sukan juga harus ditingkatkan. Ini sekurang-kurangnya dapat menjana antara RM50 hingga RM100 juta untuk pembangunan sukan.

3: Kerajaan wajar memperkenalkan pelepasan cukai korporat untuk tajaan atlet, acara sukan dan pembangunan sukan secara am bagi menggalakkan sumbangan daripada pihak swasta. Saya telah beberapa kali membangkitkan cadangan ini di parlimen sejak Belanjawan 2021 lagi.

4: KBS juga patut memperluaskan lagi program TRACK yang diperkenalkan semasa pentadbiran PH. Melaluinya MSN menempatkan atlet bekerja secara masa anjal (flexi hour) di syarikat-syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ini bukan sahaja dapat menambah pendapatan atlet, malah memberi platform kerjaya kedua untuk mereka.

5: Program MACE (Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia) harus diperkasakan untuk mewujudkan ekosistem kerjaya sukan serta pascakerjaya sukan yang lebih baik untuk para atlet.

Sebarang penamatan kontrak atlet perlu dirunding dengan adil. Mereka harus diberi masa peralihan yang sesuai, dan ditawarkan peluang pendidikan ataupun pekerjaan pascakerjaya sukan yang munasabah.

6: KBS harus meningkatkan keupayaan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk memastikan semua bekas atlet negara mendapat perlindungan di bawah program kebajikan badan berkenaan.

Saya mencadangkan agar peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta disalurkan kepada pihak Yakeb bagi tujuan tersebut.

7: KBS dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan perlu melaksanakan strategi perbelanjaan berhemah seperti penjimatan melalui amalan tender terbuka, dan menghentikan budaya membiayai 'percutian sukan' untuk pegawai sama ada melibatkan pegawai menteri, penjawat awam mahupun pegawai persatuan sukan dengan alasan 'mengiringi' atlet ke temasya luar negara.

Hadkan rombongan kepada pegawai-pegawai yang berkaitan dengan temasya dan atlet secara langsung sahaja.

Ketika temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, waima dengan pegawai pengiring yang ramai, masih berlaku insiden atlet lontar peluru kita Muhammad Ziyad Zolkefli gagal tiba awal di tempat menunggu. Ia sekali gus mengakibatkan kita terlepas peluang mendapat pingat emas walaupun telah mencipta rekod baru kejohanan.

8: KBS patut menggalakkan pembangunan kelab-kelab sukan profesional yang mampu mencungkil bakat sukan di samping menarik pelaburan swasta.

Sebagai contoh, semasa pentadbiran PH, KBS berjaya mendapat persetujuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membenarkan pemain profesional bertanding mewakili negara.

Ini membolehkan beberapa pemain kebangsaan menjadi pemain profesional yang dibiayai pihak swasta dan pada masa yang sama diberi peluang mewakili negara di temasya antarabangsa.

Sistem kelab sukan professional ini telah menghasilkan prestasi yang cemerlang di negara lain terutamanya dalam sukan seperti bola sepak, badminton, bola keranjang dan sebagainya.

Kemelut yang berlaku ini telah menjadikan sektor sukan negara muram dan murung.

Walaupun pada 29 Nov 2021 saya telah memberi amaran di Parlimen bahawa akan berlaku masalah besar berikutan pengurangan peruntukan sukan yang mendadak, Menteri Belia dan Sukan ternyata memandang enteng isu ini.

Saya sekali lagi menggesa menteri terbabit untuk mengambil tindakan segera sebelum sektor sukan negara menjadi lumpuh sepenuhnya, sekali gus memusnahkan segala usaha atlet, jurulatih, pegawai sukan kita selama ini.


STEVEN SIM ialah ahli parlimen Bukit Mertajam yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri belia dan sukan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS