PM diminta kaji semula keputusan potong elaun atlet
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus menerima kecaman susulan keputusannya memotong elaun untuk atlet dan menggugurkan 144 atlet daripada program latihan kebangsaan.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohamed Shafie Mammal berkata, langkah itu akan mendatangkan impak negatif ke atas program pembangunan atlet dan bidang sukan negara dalam jangka panjang.
"Alasan bahawa tidak cukup dana kewangan tidak dapat diterima sama sekali jika kita benar-benar mahu memberi tumpuan ke atas pelan pembangunan atlet.
"Adakah Menteri Belia dan Sukan sedar dengan kemelut yang berlaku sekarang bukan sahaja telah menjejaskan reputasi atlet, tetapi menjejaskan imej Kementerian Belia dan Sukan yang diberikan amanah untuk membangunkan barisan atlet yang merupakan aset kepada negara," soalnya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Mohamed Shafie menggesa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberi arahan tegas agar KBS mengkaji semula tindakan berkenaan.
"Kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri perlu meletakkan kembali keutamaan pembangunan bidang sukan di tempat yang betul, dan tidak wajar bercanggah dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan tahun lalu.
"Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan perlu mengkaji keputusan mereka untuk memotong dan menggugurkan atelt-atlet atas alasan ketidakcukupan dana.
"Sukan merupakan salah satu bidang yang memerlukan pelaburan dan pengurusan jangka panjang dan besar bagi melahirkan barisan juara di peringkat nasional, serantau dan global,” katanya.
Awal bulan ini, Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan pemotongan elaun terhadap 144 daripada 432 atlet profesional sepenuh masa sedia ada.
Ia menyebut pemotongan peruntukan dalam belanjawan sebagai sebab keputusan itu diambil. Bajet 2022 memperuntukkan hanya RM244 juta kepada sektor sukan.
Antara yang digugurkan ialah penerjun negara dan juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong, yang kemudian membuat keputusan untuk bersara sepenuhnya daripada sukan itu.
Keputusan MSN itu dikritik oleh atlet seperti pemain skuasy negara, Low Wee Wern dan Persekutuan Silat Kebangsaan.
Bekas timbalan menteri belia dan sukan, Steven Sim berkata, menteri dan timbalan menteri yang tidak berfungsi sepatutnya digugurkan dan bukannya atlet.
Pada Isnin (10 Jan) lalu, New Straits Times melaporkan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu sebagai berkata kementerian itu tidak kejam tetapi hanya "berbelanja mengikut kemampuannya" berikutan pandemik Covid-19 yang berterusan.

