Pasukan Liga Malaysia bersedia menerima Prosedur Operasi Standard (SOP) baru perlawanan Liga Malaysia 2022 yang menetapkan tiada lagi penundaan perlawanan bagi pasukan terjejas dengan wabak Covid-19 demi mengelakkan jadual padat di kemudian hari.
SOP baru ini memerlukan pasukan untuk bersedia mendaftar pemain dari pasukan Reserve Team, Piala Presiden atau Piala Belia ke dalam barisan pemain skuad utama sekiranya ada pemain sedia ada dijangkiti Covid-19.
Memetik laporan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), pengendali Negeri Sembilan FC, K.Devan berkata pasukannya pernah terpaksa menunda perlawanan selepas hampir keseluruhan pemain dijangkiti virus tersebut.
“Kita sebelum ni pun pernah hampir satu pasukan positif Covid-19, jadi kalau boleh kita tidak mahu benda sama berulang lagi.
“Apa sahaja yang telah diputuskan oleh MFL, kami akan ikut sahaja asalkan ia yang terbaik untuk pasukan dan kami pun ada ramai pemain-pemain dalam skuad utama.
“Memang kita ada pemain dari pasukan Piala Presiden dan Piala Belia, tetapi kalau boleh kita tidak mahu ketandusan pemain sendiri untuk beraksi”, jelasnya.
Ketua jurulatih Sabah FC, Ong Kim Swee juga yakin ini adalah langkah yang tepat bagi memastikan tiada lagi penundaan perlawanan apabila SOP terkini menyediakan alternatif untuk membantu pasukan yang kekurangan pemain akibat jangkitan Covid-19.
“Sememangnya perkara ini harus dilakukan memandangkan kalau kita tengok Liga-Liga di luar negara juga telah menggunakan sistem seperti ini.
“Dan dengan adanya peraturan baru ini ditambah dengan semua pasukan ada ramai pemain di peringkat Piala Presiden, Piala Belia dan Reserve Team, saya tidak nampak akan timbul masalah jadual padat.
“Dan ini juga akan membantu skuad kebangsaan di mana perancangan mereka juga tidak akan terjejas sekiranya jadual liga berjalan lancar”, katanya.
Sementara itu Ketua jurulatih Kelantan United FC, Syamsul Saad juga berkongsi perspektif yang sama, dengan mengatakan SOP baru ini dapat memastikan tiada lagi keperluan untuk perlawanan ditunda dalam saingan Piala FA dan semuanya dapat berjalan dengan lancar seperti yang dijadualkan.
