Kerja baik pulih dan naik taraf padang hoki Wisma Belia, Indera Mahkota, dekat Kuantan memerlukan peruntukan sebanyak RM5.4 juta.
Permohonan bagi mendapatkan peruntukan itu dikemukakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) melalui surat rasmi dihantar kepada pejabat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ti Lian Ker, semalam.
Padang hoki berkenaan adalah antara lokasi tumpuan penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa sejak tahun 2009.
Ti ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran minggu Karnival Belia dan Sukan Kuantan di bangunan MBK hari ini mengesahkan menerima surat permohonan itu.
"Memang saya ada terima permohonan MBK yang merupakan pentadbir dan penyelaras Stadium Hoki Indera Mahkota untuk naik taraf dan baik pulih berjumlah RM5 juta.
"Pihak kementerian akan memberi sokongan dan memproses (permohonan) ini secepat mungkin dan kita akan lakukan kerja-kerja pembaikan asas terlebih dahulu," katanya.
Stadium hoki itu mula dibuka untuk kejohanan antarabangsa pada tahun 2009 dan kali terakhir digunakan bagi Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia pada tahun 2016.
Kejohanan itu menyaksikan Malaysia meraih tempat ketiga selepas menundukkan Korea Selatan 3-1 menerusi pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar perlawanan.
Sementara itu, Ti berkata minggu karnival belia dan sukan Kuantan dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 Jun depan di Dataran MBK dan Padang Kemunting bersebelahan kompleks MBK, Jalan Tanah Putih, di Kuantan.
Sebanyak 11 acara dijangka diadakan sepanjang karnival itu dan KBS mensasarkan kira-kira 500,000 pengunjung akan menyertai pelbagai program dan acara disediakan penganjur.
