Kejohanan di Brazil tiada dalam perancangan MSN
Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil 2022 yang bakal disertai juara Sukan Paralimpik Tokyo 2020 Cheah Liek Hou, sememangnya tiada dalam perancangan Majlis Sukan Negara (MSN).
Sumber memaklumkan sekiranya kejohanan disertai oleh mana-mana atlet termasuk Liek Hou tidak berada dalam kalendar MSN, maka atlet tersebut seharusnya mengurus sendiri segala proses termasuk membiayai kewangan diperlukan.
Menurutnya, MSN kebiasaannya akan menanggung segala kos diperlukan sekiranya kejohanan atau pertandingan disertai itu berada dalam perancangan badan induk sukan negara itu.
“Saya difahamkan MSN telah meminta Liek Hou untuk memperbetulkan kenyataan dimuat naik di media sosialnya hari ini, jadi kita tunggu sahaja penjelasan lanjut darinya,” katanya.
Terdahulu, Liek Hou dalam satu hantaran di laman Facebook menyatakan beliau dan jurulatih Datuk Rashid Sidek berangkat ke Brazil menggunakan duit poket sendiri, termasuk menanggung segala perbelanjaan di sana.
“Kejohanan para ini tidak ada hadiah wang tunai seperti kejohanan biasa. Jadi ini betul-betul ada keluar tak ada masuk ya geng,” katanya.
Pemain berusia 34 tahun yang juga juara dunia perseorangan para enam kali difahamkan mengeluarkan wang sendirinya lebih kurang RM15,000, untuk menyertai kejohanan di Brazil dengan tambang penerbangan sahaja mencecah RM7,000.
Kejohanan di Brazil itu bakal menjadi aksi pertama pemain ranking nombor dua dunia itu selepas melakar sejarah muncul pemenang emas pertama badminton dari Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo, September tahun lepas.
Liek Hou ketika itu menewaskan musuh ketatnya Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada final acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) yang berlangsung di Stadium Nasional Yoyogi, Tokyo.
- Bernama

