Lagu K-Pop iringi latihan skuad Harimau Malaya
Pendekatan baharu barisan kejurulatihan skuad kebangsaan yang memainkan muzik rancak sewaktu sesi pemanas badan sebelum menjalani latihan di padang merupakan perkara positif bagi ketua pasukan, Mohd Farizal Marlias.
Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata ia merupakan sesuatu yang baharu dilaluinya bersama pasukan negara dan menyifatkan pendekatan tersebut sebagai amat baik dalam mewujudkan suasana lebih menyeronokkan dalam sesi latihan.
“Itu perkara menyeronokkan, barulah pemain tidak berasa tegang datang berlatih apabila mendengar muzik… sangat-sangat bagus,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan Malaysia menentang Hong Kong di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini.
Muzik rancak yang dapat didengar sewaktu sesi latihan skuad kebangsaan adalah bergenre ‘K-Pop’ dendangan kumpulan Blackpink dan Weeekly selain penyanyi solo PSY.
Skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon akan menentang Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil malam esok selepas membenam Brunei 4-0 pada aksi berstatus sama di venue sama, Jumaat lepas.
Perlawanan menentang Hong Kong merupakan aksi pemanas badan terakhir sebelum Malaysia memulakan cabaran kempen Kelayakan Piala Asia 2023 berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam saingan Kumpulan E.
Sebagai rekod, Malaysia seri 1-1 dan tewas 0-2 dalam dua pertemuan terakhir bertemu Hong Kong pada kelayakan Piala Asia 2019 yang ketika itu dibimbing oleh Pan Gon.
Menjelang pertembungan esok, Mohd Farizal berkata apa yang penting ialah bagaimana pasukan menterjemahkan corak permainan semasa sesi latihan.
“Saya tak nak terlalu memikirkan tentang pasukan lawan dan hal-hal lepas yang berlaku sebelum ini, yang penting adalah persiapan kita dan cara untuk kita bermain DNA kita sendiri dengan elemen seperti mendominasi, tempo tinggi dan intensiti tinggi,” katanya.
Beliau juga berkata setakat ini, barisan pemain bukan sahaja menerima dengan baik apa yang cuba diterapkan Pan Gon malah memberikan komitmen tinggi semasa sesi latihan.
- Bernama

