Jazeman harap '24 hours of Le Mans' bantu persediaan ke Monza
Walaupun hanya menjadi pelumba simpanan buat pasukan Jota Sport pada perlumbaan ‘24 Hours of Le Mans’ di Litar de la Sarthe, Perancis pada hujung minggu ini, Jazeman Jaafar tetap menganggapnya sebagai pengalaman berharga.
Jazeman, 29, bekas pelumba ujian Formula Satu (F1) optimis pengalaman yang dimilikinya akan membantu beliau untuk pusingan ketiga European Le Mans Series (ELMS) di Monza, Itali pada 3 Julai.
"Menjadi pelumba simpanan untuk perlumbaan yang berprestij di dunia ini, adalah peluang terbaik dan saya berdoa ia akan menjadi sandaran untuk saya kembali kepada perlumbaan Le Mans 24 jam pada tahun depan.
“Kami juga akan bersaing untuk kategori Pro-Am Le Mans Prototype 2 (LMP2) seterusnya di kategori Le Mans Prototype 2 (LMP2),” katanya menerusi rakaman klip video hari ini.
Bekas pelumba ujian F1 Mercedes itu, pernah beraksi di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) dan Asia Le Mans Series.
Jazeman juga pernah meraih pencapaian yang positif dengan memperoleh tempat ketiga bagi perlumbaan WEC pada tahun 2021.
-Bernama

