Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
AFC boleh kenakan sekatan terhadap Stadium Bukit Jalil
Diterbitkan:  Jun 13, 2022 7:49 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

Stadium Nasional Bukit Jalil boleh dikenakan sekatan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) daripada mengadakan perlawanan akan datang sekiranya padang di stadium itutidak dinaiktaraf dengan segera

Bagaimanapun, dua perlawanan terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 masih boleh diadakan di stadium esok itu seperti yang dijadualkan, menurut laporan.

"Kita terkejut melihat keadaan padang dan takkan mahu menyalahkan hujan pula. Tuan punya tempat itu perlu lebih bersedia dan di sini bukannya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kena uruskan perkara itu.

"Jadinya, kita agak kecewa dengan keadaan padang yang masih lagi tidak dibaikpulih malah menggunakan alat yang tidak sesuai pula untuk membuang air atas padang.

"Saya fikir kalau keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil berterusan seperti ini, AFC tidak akan meluluskan lagi perlawanan di stadium berkenaan," kata Setiausaha Agung AFC Windsor Paul John, dipetik Berita Harian .

BH melaporkan ini bermakna AFC tidak akan memberi kelulusan terhadap venue terbabit bagi penganjuran kejohanan peringkat Asia sehingga padang terbabit dibaikpulih.

Sementara itu, Bernama memetik Windsor sebagai berkata perlawanan antara Bahrain dan Turkmenistan serta Malaysia dan Bangladesh akan tetap dijalankan di Stadium Nasional esok.

“Tiada pertukaran venue, kedua-dua perlawanan akan bermain seperti biasa,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Keadaan padang stadium nasional yang teruk menjadi bahan cemuhan orang ramai apabila ia digenangi air akibat hujan lebat sejurus sebelum perlawanan Malaysia-Bahrain di stadium berkenaan pada Sabtu.

Petugas dilihat menggunakan peralatan seperti penyodok dan kadbod untuk membuang air dan mengeluarkannya dari padang.

NST melaporkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berkata ia tidak mengarahkan penggunaan peralatan sedemikian untuk mengeluarkan air dari padang, yang dikatakan boleh merosakkan rumput.

Portal itu memetik ketua eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata kebiasaan mengambil masa 15 minit untuk sistem perparitan stadium mengalirkan air dari padang, tetapi tempoh 20 hingga 25 minit diperlukan semasa hujan lebat.

"Pada jam 7.30 malam selepas hujan lebat semalam, padang telah digenangi dengan air tetapi pada jam 8 malam, ia telah surut, jadi mereka tidak perlu menggunakan penyodok dan kadbod untuk mengeluarkan air.

“Dengan melakukan ini, rumput akan rosak,” katanya dipetik sebagai berkata.

Perlawanan pada Sabtu dijadualkan pada pukul 9 malam.

NST juga melaporkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah bersetuju pada Mac lalu untuk menaja rumput Zeon Zoysia bagi stadium berkenaan serta sistem perparitan yang lebih baik, dengan kerja-kerja dijangka mengambil masa kira-kira empat bulan.

Bagaimanapun, pihak pengurusan stadium dilaporkan meminta kerja-kerja menaiktaraf padang hanya dimulakan pada Januari tahun depan memandangkan tempahan di stadium itu sudah penuh untuk pelbagai acara tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS