Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memohon kerajaan pusat untuk mempertimbangkan imbuhan kepada skuad hoki kebangsaan yang baru-baru ini menjadi naib juara Piala Asia 2022 dan juga layak ke Piala Dunia 2023.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung imbuhan yang akan diberikan kepada pasukan Harimau Malaya selepas melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

Skuad kebangsaan berjaya ke saingan Piala Asia secara merit selepas berjaya menumpaskan Bangladesh 4-1. Ia sekali gus menamatkan penantian lebih 40 tahun.

Kali terakhir pasukan negara berjaya melayakkan diri ke Piala Asia ialah pada tahun 1980.

"Mohon pertimbang juga imbuhan kepada skuad hoki kebangsaan yang baru-baru ini menjadi Naib Juara Piala Asia 2022 dan juga layak ke Piala Dunia 2023," ciap Anwar di Twitter.

Untuk rekod, skuad hoki negara terpaksa berpuas hati sebagai naib juara di Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 selepas tewas 2-1 kepada Korea Selatan pada perlawanan akhir di Jakarta, Indonesia pada 1 Jun lalu.

Kejayaan skuad hoki negara mara ke perlawanan akhir mengesahkan tiket ke pusingan akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India.

Untuk rekod, sejak kejohanan hoki Piala Asia diperkenalkan pada 1982, pencapaian terbaik negara adalah sebagai naib juara pada 2017 apabila kecundang 1-2 kepada India, di Dhaka, Bangladesh.

Skuad hoki negara juga dikenali sebagai 'Malaysian Tigers' akan membuat penampilan kali kesembilan di Piala Dunia akan datang.