Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Terbuka Singapura : Tze Yong, tiga beregu campuran M'sia mara ke suku akhir
Diterbitkan:  Jul 14, 2022 8:26 PM
Dikemaskini: 12:26 PM

Pemain badminton perseorangan lelaki Malaysia Ng Tze Yong berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dalam aksi sulungnya pada Super 500 Terbuka Singapura di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.

Turut menggembirakan peminat badminton negara adalah kejayaan tiga beregu campuran dari Malaysia, Chen Tang Jie-Valeree Siow, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, mempamerkan aksi hebat untuk turut sama melakar kejayaan melangkah mara ke peringkat suku akhir.

Tze Yong jelas menunjukkan kematangan dalam permainannya pada perlawanan hari ini apabila berjaya menewaskan pemain nombor 15 dunia, Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong dengan 21-15, 21-13 dalam masa 33 minit.

Dalam perlawanan berikutnya esok pemain ranking ke-47 dunia itu akan berentap dengan pemain nombor enam dunia, Anthony Ginting dari Indonesia, yang telah menewaskan pemain Taiwan Lin Chun Yi dengan 21-12, 19-21, 21-16, dalam perlawanan yang berlangsung lebih sejam.

Merujuk kepada perlawanan esok, Tze Yong berkata beliau akan hanya memberi tumpuan kepada permainannya sahaja, dan tidak akan memikirkan sangat mengenai lawannya.

Terdahulu pasangan Tang Jie-Valeree menampilkan strategi tepat apabila membuat serangan pantas yang mengubah sama sekali corak permainan biasa pasangan Reginald Lee-Ng Tsz Yau, dan akhirnya berjaya menundukkan pasangan dari Hong Kong itu dengan 21-13, 21-7.

Dalam perlawanan suku akhir esok, mereka akan bertemu dengan juara dunia Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, yang berjaya menempah tiket ke perlawanan suku akhir selepas menewaskan pasangan senegara Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dengan 22-20, 21-16.

Pasangan di ranking 125 dunia Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, kemudiannya meneruskan rentak kemenangan Malaysia dengan menundukkan beregu nombor 13 dunia dari Denmark Matthias Christiansen-Alexandra Boje dengan 21-11, 21-19.

“Perlawanan hari ini lebih baik. Kami sudah dapat sesuaikan diri dengan persekitaran di sini, .. termasuk aspek angin, permainan hari ini lebih baik daripada semalam,” kata Pang Ron.

Dalam saingan berikutnya Pang Ron-Ee Wei akan berhadapan dengan Gua Xin Wa-Zhang Shu Xian dari China.

Pasangan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai yang tumpas dalam set pertama kepada pasangan dari Indonesia Rinov Rivaldi-Pitha Haningtyas Mentari dengan 10-21, bangkit dalam dua set berikutnya untuk memenangi perlawanan dengan 21-18, 21-10.

Mereka dijadualkan bertemu dengan beregu pilihan keempat Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong dalam saingan berikutnya.

Bagaimanapun perjalanan pasangan Chan Peng Soon-Cheah Yee See dalam Terbuka Singapura ini berakhir selepas mereka tumpas di tangan pasangan nombor empat dunia Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China dengan 18-21, 14-21.

Keputusan pemain Malaysia:

Beregu Campuran:

Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei mn Mathias Christiansen-Alexandra Boje (Denmark) 21-11, 21-19

Chen Tang Jie-Valeree Siow mn Reginald Lee-Ng Tsz Yau (Hong Kong) 21-13, 21-7

Goh Soon Huat-Shevon Lai mn Rinov Rivaldi-Pitha Haningtyas Mentari (Indonesia) 10-21, 21-18, 21-10

Chan Peng Soon-Cheah Yee See tewas kepada Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping (China) 18-21, 14-21

Beregu lelaki:

Goh V Shem-Low Juan Shen kk Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (Indonesia) 11-21, 18-21

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kk Lu Ching Yao-Yang Po Han (Taiwan) 18-21, 19-21

Wan Arif Junaidi-Haikal Nazri kk Terry Hee-Loh Kean Hean (Singapura) 9-21, 17-21

Man Wei Chong-Tee Kai Wun kk Mohd Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia) 14-21, 15-21

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kk M R Arjun-Dhruv Kapila (India) 21-18, 22-24, 18-21

Perseorangan lelaki:

Ng Tze Yong mn Lee Cheuk Yiu (Hong Kong) 21-15, 21-13

Beregu Wanita:

Vivian Hoo-Lim Chiew Sien kk Sayaka Hobara-Hinata Suzuki (Jepun) 18-21, 11-21

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS