Kumar, Roslan 'berguru' di Akademi Martijn Drijver, Belanda
Dua jurulatih penjaga gol skuad hoki kebangsaan - S. Kumar dan Roslan Jamaluddin mendapat peluang keemasan untuk ‘berguru’ selama dua minggu di Akademi Martijn Drijver Goalie, Belanda, mulai Ahad ini.
Kedua-dua bekas penjaga gol kebangsaan itu akan mendalami teknik kejurulatihan terkini di bawah pengawasan bekas penjaga gol terkemuka dunia, Martijn Drijver di Amsterdam sehingga 6 Ogos depan.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Subahan Kamal percaya usaha itu bakal memberi pendedahan corak dan modul latihan terbaik seluruh dunia untuk diterapkan kedua-dua jurulatih berkenaan menjelang Piala Dunia 2023 di India dan Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur.
Katanya, kem latihan tersebut turut disertai oleh jurulatih utama skuad junior bawah 21 tahun dari seluruh dunia dengan mengajar bagaimana mengendalikan kursus latihan kepada jurulatih muda.
"Bila Kumar dan Roslan pulang, mereka akan mengendalikan klinik kejurulatihan untuk jurulatih penjaga gol negeri dan berkongsi ilmu dan membantu jurulatih junior yang lain,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Subahan berkata tidak mustahil jurulatih Malaysia mampu melebarkan sayap menjadi pengendali bersama 10 pasukan terbaik dunia, sekiranya mereka mampu menunjukkan prestasi cemerlang dengan melahirkan ramai pemain berstatus bintang.
Sementara itu, Kumar dan Roslan berterima kasih kepada KHM atas kepercayaan yang diberikan serta kesudian menghantar mereka menimba ilmu kejurulatihan di Eropah yang sudah melahirkan ramai penjaga gol terbaik dunia.
Mereka juga yakin ia satu langkah ke hadapan untuk membimbing anak buah masing-masing apabila pulang ke tanah air kelak.
Kumar dan Roslan dijangka berlepas ke Amsterdam, malam ini.
- Bernama

