Ketua jurulatih skuad Johor Darul Takzim (JDT) Benjamin Mora diumum meninggalkan kelab itu selepas mencurah bakti dengan pasukan terbabit sejak 2017.

JDT dalam kenyataan hari ini berkata, Mora meminta untuk dibenarkan pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan.

"JDT menghormati permintaan tersebut dan akan membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk beliau kembali pada masa akan datang.

"Benjamin (Mora) merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

"Benjamin telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan," kata kenyataan itu.

Skuad Harimau Selatan itu juga mengucapkan terima kasih kepada Mora atas khidmat baktinya.

"Terima kasih, Benjamin. Anda akan selamanya menjadi sebahagian daripada keluarga JDT. Jumpa lagi," kata kelab tersebut.