Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Muhammad Azeem mohon doa rakyat Malaysia buru podium di Colombia
Diterbitkan:  Aug 2, 2022 9:36 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Selepas mencipta rekod baharu 100 meter (m) kebangsaan, jaguh pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi memohon sokongan dan doa seluruh rakyat Malaysia dalam usaha menaiki podium di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.

Muhammad Azeem yang melebur rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) pada saingan saringan kejohanan itu awal pagi tadi berkata beliau sedia mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengulangi larian terbaiknya di peringkat separuh akhir dan akhir sekiranya layak.

“Terima kasih atas sokongan semua. Alhamdulillah atas segalanya. Kita mara. Separuh akhir dan semoga ke final. Kepada rakyat Malaysia, apa yang saya harapkan daripada anda semua adalah doa dan positif! Itu senjata paling kuat untuk diri ini...insya-Allah, Bismillah…Doakan kejayaan saya!” tulisnya dalam laman Instagramnya.

Pada aksi di Stadium Olimpik Pascual Guerrero awal pagi tadi waktu Malaysia, Muhammad Azeem yang berlari dalam saringan lapan 100m lelaki melintasi garisan penamat dengan catatan 10.09s sekali gus menjadi antara 24 pelari mara ke peringkat separuh akhir.

Catatan dilakukan beliau memadam rekod lama kebangsaan 10.18s yang dicipta bekas jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak.

Pada saingan awal di Cali itu, hanya pelari Botswana berusia 19 tahun, Letsile Tebogo yang berlari dalam saringan tiga mencatat masa lebih pantas daripada Muhammad Azeem selepas memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan masa 10s.

Beliau sebelum ini turun ke kejohanan itu dengan reputasi sebagai remaja keempat terpantas Asia masing-masing dalam 100m dan 200m bagi musim 2022 sehingga Julai lepas.

Pusingan separuh akhir dan akhir 100m lelaki Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun dijadual berlangsung awal pagi esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS