Empat bulan gaji pemain Sarawak United belum dibayar
Pemain pasukan Sarawak United FC (SUFC) kini menghadapi kesulitan kewangan selepas mendakwa masih belum menerima gaji sejak empat bulan lalu.
Menurut surat yang dihantar kepada pihak pengurusan pasukan bertarikh 7 Ogos yang dilihat Malaysiakini, gaji untuk semua pemain bagi bulan April, Mei, Jun dan Julai tahun ini masih belum dibayar.
Tuntutan elaun perubatan, kos penerbangan dan bonus perlawanan juga belum dilunaskan, termasuk bayaran musim lepas serta bayaran penginapan.
“Kami, pemain SUFC, dengan hormatnya menulis surat kepada anda mengenai keadaan kewangan kami dan kesusahan yang tidak terperi yang kami hadapi.
“Sebagai sebuah pasukan, kami keseluruhannya bimbang dengan kelewatan tunggakan gaji yang berterusan dan komitmen kewangan lain kepada pemain. Kami telah berfikir dengan munasabah, sabar, cuba memahami dan yang terpenting bekerja keras.
“Walaupun kami berdepan isu kelewatan gaji secara berterusan, namun kami tetap profesional dan kami komited untuk memberikan yang terbaik dalam latihan dan permainan memandangkan kekangan dalam pasukan.
"Bagaimanapun, kami mempunyai kewajipan kewangan dan keluarga untuk dijaga. Semasa kami menulis surat ini, gaji, elaun dan tuntutan masih belum dibayar," menurut surat itu.
Pasukan itu menambah bayaran gaji yang tertunggak melanggar Klausa 3.4 kontrak pemain, yang berbunyi: “Kelab pada setiap bulan, seperti yang dipersetujui antara kelab dan pemain mengikut Jadual A, hendaklah membayar gaji pemain mengikut tarikh ditetapkan"
Malaysiakini difahamkan surat itu ditandatangani semua pemain pasukan terbabit dan mendapati pihak pengurusan SUFC juga tidak membuat caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Januari 2021.

Semalam, Presiden SUFC, Posa Majais dilapor memberi jaminan gaji pemain dan pegawainya akan dibayar dalam tempoh dua minggu, sambil mengatakan dia kesal dengan situasi itu.
Posa juga berkata perkara itu akan diselesaikan selepas peruntukan baru daripada “pihak premier Sarawak” diluluskan untuk pasukan itu.
Bagaimanapun ia bercanggah dengan memo dalaman bertarikh 7 Ogos yang dihantar kepada pemain dan pegawai, di mana dia berjanji pembayaran gaji akan dibuat sebelum 20 Ogos.
“Gaji akan dibayar sebelum 20 Ogos 2022, untuk semua pemain dan pegawai.
"Sekiranya perkara ini tidak dilaksanakan oleh presiden dan pengurusan, semua pemain dan pegawai mempunyai hak untuk membuat keputusan untuk tidak bermain dalam perlawanan seterusnya," kata memo yang dilihat oleh Malaysiakini.
Malaysiakini telah cuba menghubungi pihak pengurusan pasukan untuk mendapatkan butiran lanjut.
PFAM sahkan laporan
Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima laporan berkenaan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain pasukan Sarawak United FC.
PFAM menerusi satu kenyataan, memaklumkan berdasarkan laporan itu pihaknya telah mengeluarkan notis kepada pasukan terbabit untuk tuntutan tunggakan pemain yang membuat aduan pada 16 Jun lalu.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa notis susulan telah diberikan kepada Sarawak United pada 8 Julai.
“Walaupun telah menerima maklum balas daripada pihak pasukan bagi melunaskan tunggakan gaji tersebut namun sehingga kini, tunggakan masih belum dijelaskan sepenuhnya
“Lebih mendukacitakan, pada Jun lepas, para pemain terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis bagi mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab berkenaan,” menurut kenyataan itu.
PFAM menambah pihaknya memandang serius perkara itu dan akan membawa isu itu ke Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) dalam masa terdekat.
Hukuman oleh Fifa
Ini bukan kali pertama SUFC berdepan masalah pembayaran gaji kepada para pemainnya.
Pada Jun 2021, Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dilaporkan menghukum SUFC dengan larangan perpindahan pemain selepas gagal membayar gaji bekas jurulatih, Juan Carlos Margo sebanyak RM200,000.
Ini berlaku lagi bulan lalu apabila pasukan itu gagal menjelaskan tunggakan gaji dan pampasan bekas pemain importnya, Sandro da Silva, berjumlah lebih RM150,000.
Perkara itu disahkan kepada Berita Harian oleh peguam Sandro, Mohd Zhafri Aminurashid.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/aef7030f3f01796a55c85a4bc082e405.jpg)
