FAM anggap pengadil tepat anugerahkan penalti kepada JDT
Keputusan dibuat pengadil Zulkarnain Zakaria memberikan sepakan penalti kepada JDT pada aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya Sabtu lalu, disifatkan sebagai tepat.
Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman berkata susulan penelitian dijalankan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil badan induk itu mendapati, memang terdapat kesalahan berlaku.
Noor Azman mengulas insiden tersebut yang mengundang pertikaian bahawa JDT tidak sepatutnya diberikan sepakan penalti kerana tiada sentuhan dibuat pemain pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab, ke atas pemain Arif Aiman Hanapi.
“Selepas dibuat penelitian dan analisis menerusi rakaman video oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil, memang terdapat kesalahan dilakukan pemain Selangor tersebut, iaitu kekasaran dan sentuhan terhadap pemain lawan.
“Berdasarkan itu, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah membuat rumusan bahawa tindakan pengadil memberikan sepakan penalti tersebut adalah satu keputusan yang tepat,” kata Noor Azman menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, berhubung insiden di luar stadium selepas perlawanan yang tular di media sosial apabila terdapat individu dari Selangor tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pada perlawanan dikendali Zulkarnain, Noor Azman berkata perkara itu sedang diteliti Unit Undang-undang FAM.
“Bagi insiden yang berlaku di luar stadium selepas perlawanan itu, penelitian lanjut sama ada ia perlu dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM atau sebaliknya akan dibuat,” katanya.
Pada perlawanan tersebut JDT terikat 1-1 dengan Selangor.
- Bernama
/file/1074/d709b4a1cb02adfe15071e0fac9fbeca.jpg)
