Pemain hoki cemerlang rasa tak dihargai, MSN beri penjelasan
Seorang pemain hoki remaja kebangsaan meluahkan rasa kecewa kerana susah mendapat peluang ke universiti dan mendapatkan biasiswa meskipun mendapat keputusan cemerlang.
Kirandeep Kaur berkata, dia mendapat 9A dalam SPM dan tidak mendapat sebarang biasiswa.
“Saya dapat 3.88 untuk matrikulasi walaupun saya sertai Piala Dunia Remaja tiga minggu sebelum peperiksaan.
“Tapi masih susah untuk masuk ke mana-mana universiti.
“Saya rasa sungguh tidak dihargai,” tulisnya dalam bahasa Inggeris di Twitter.
Kirandeep malah memuat naik keputusan SPM yang menunjukkan dia mendapat A untuk semua mata pelajaran yang diambilnya, termasuk A, A- dan A+.
Mata pelajaran itu ialah Bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pengajian Mora, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.
Dia tidak mendedahkan butiran lanjut keluhannya itu. Malaysiakini telah menghubunginya melalui media sosial dan sedang menunggu maklum balasnya.
Soalan sama diajukan kepada Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, ciapan Kirandeep itu mendapat perhatian Majlis Sukan Negara (MSN) yang menjelaskan bahawa mereka menerusi Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) sentiasa menyediakan bantuan untuk atlet kebangsaan yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Dalam kes Kirandeep, kata MSN, majlis itu dimaklumkan menerusi keluarganya bahawa permohonannya untuk mengikuti pengajian perubatan melalui private entry di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditolak.
MSN berkata, keputusan Kirandeep tidak melayakkan dia mengikuti pengajian perubatan,
“Semakan MACE juga mendapati Kirandeep Kaur, telah secara terus mengemukakan permohonan ke Unit Pusat Universiti (UPU) dan keputusan penempatan ke universiti tempatan akan hanya diketahui antara 25-27 September ini,” katanya.
Sementara itu, bekas menteri belia dan sukan syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut membangktikan perkara itu di media sosial dan meminta kerajaan membantu Kirandeep.
Katanya, pada 2019 ketika dia menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), mereka bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan atlet diberi keutamaan untuk masuk ke universiti.
Perkara itu, katanya, termasuk mewujudkan program yang dinamakan “One state-one uni-one centre” atau 1S1U1C yang melibatkan lebih 20 universiti bagi memberikan biasiswa dan pengajian fleksibel kepada atlet.
“Bantulah mereka,” katanya yang juga presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Susulan itu, MSN sekali lagi memberikan penjelasan bahawa program 1S1U1C masih berjalan.
Katanya, permohonan kemasukan dan permohonan biasiswa sukan akan diselaraskan bersama antara KBS dan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Atlet-atlet negara yang layak akan diberikan tempat dan mereka yang memenuhi syarat akan juga beroleh peluang ditawarkan kemudahan biasiswa sukan KPT serta biasiswa Sukan Persekutuan KBS,” katanya.
Bagaimanapun, kata MSN, isu yang timbul mungkin ekoran sebilangan atlet tidak mendapat tawaran kursus yang mereka mahukan kerana tidak memenuhi syarat kelayakan, sebaliknya ditawarkan kursus berbeza.
“MSN ketika ini berpuas hati dengan kerjasama yang dijalin serta peluang meneruskan pengajian yang diberikan kepada atlet-atlet negara yang layak,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/99de4e4a6f761b0c24e971586c948b56.jpg)
