Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Angka kematian mangsa rempuhan bola sepak Indonesia cecah 32
Diterbitkan:  Oct 3, 2022 5:30 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Angka korban mangsa kanak-kanak dalam insiden rusuhan bola sepak pada hujung minggu lalu di Malang, Jawa Timur, Indonesia meningkat kepada 32 daripada kiraan awal 17, kata seorang pegawai kerajaan hari ini.

Umur kanak-kanak itu adalah antara 3 hingga 17 tahun, kata Nahar, seorang pegawai di kementerian pemerkasaan wanita dan perlindungan kanak-kanak kepada Reuters.

Keganasan dan 'hooliganisme' sudah lama menjadi ciri bola sepak Indonesia, terutama di tempat-tempat seperti di ibu negara, Jakarta namun tragedi Sabtu lalu di sebuah bandar kecil di Jawa itu menyorotkan perhatian terhadap masalah berkenaan.

“Saya sekeluarga tidak menyangka akan jadi begini,” kata Endah Wahyuni, kakak kepada dua adiknya lelaki, Ahmad Cahyo, 15, dan Muhammad Farel, 14, yang terbunuh dalam rusuhan itu.

"Mereka meminati bola sepak, tetapi tidak pernah menonton Arema secara langsung di stadium Kanjuruhan. Ini kali pertama mereka," katanya pada majlis pengebumian kedua-dua adiknya semalam.

Akhbar harian Indonesia Koran Tempo menyiarkan muka depan berwarna hitam dengan tertera perkataan "Tragedi Bola Sepak Kita" yang dicetak dalam warna merah bersama senarai mereka yang terkorban.

Kejadian Sabtu lalu tercetus ketika penonton yang cemas cuba melarikan diri dari stadium yang penuh sesak selepas polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong pasukan tuan rumah yang kalah yang merusuh ke dalam padang pada penghujung perlawanan.

Dalam perlawanan itu, pasukan tuan rumah Arema FC tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya, walaupun pihak berkuasa berkata tiket tidak dijual kepada penyokong Persebaya atas kebimbangan keselamatan.

Difahamkan, 42,000 tiket dikeluarkan melebihi 38,000 kapasiti stadium itu.

Ketua Menteri Keselamatan Indonesia, Mahfud MD, berkata kerajaan akan menubuhkan pasukan pencari fakta bebas terdiri daripada ahli akademik dan bola sepak serta pegawai kerajaan untuk menyiasat insiden yang berlaku.

Katanya, pasukan itu akan mengambil masa beberapa minggu untuk menyiasat pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menyifatkan apa yang terjadi sebagai "hari gelap bagi semua yang terlibat" sambil mengarahkan pihak berkuasa bola sepak Indonesia membuat laporan berhubung rusuhan tersebut.

Polis dan pegawai sukan dihantar ke Malang untuk menyiasat insiden berikutan tragedi itu adalah antara paling ramai mengakibatkan korban nyawa dalam acara sukan di dunia.

- Reuters

Lihat Komen
ADS