Presiden Pasukan Bola Sepak Kedah (KFA), Sanusi Mohd Noor perlu meletakkan jawatan sekiranya tidak mampu menyelesaikan masalah pasukan itu, kata Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Menurut Syed Mohd Johan, Sanusi sering menafikan pemain dan jurulatih pasukan KDA menghadapi masalah pembayaran gaji selama beberapa bulan.

"Beliau juga pernah menyebut akan menyaman mereka yang menular berita masalah pembayaran gaji itu.

“Terbaru beliau mahu mengambil tindakan terhadap seorang wartawan sukan yang mendedahkan satu lagi masalah pasukan berkenaan iaitu tunggakan pembayaran cukai pendapatan LHDN.

"Sekarang pekung pasukan telah terdedah dan sangat memalukan. Presiden KFA harus bertanggungjawab sebagai pemimpin, bukannya seronok bergaduh dengan JDT (Johor Darul Ta'zim) untuk popular.

"Kalau tidak mampu, letak sahaja jawatan Presiden KFA. Ataupun kalau rasa tidak malu mintalah bantuan TMJ," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Menurut Sye Mohd Johan, isu kegagalan pembayaran gaji itu ternyata benar apabila bekas jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak mengakui mereka tidak dibayar gaji sehingga lima bulan.

"Tidak hairanlah Aidil meninggalkan pasukan yang beliau sayangi dan begitu juga timbalan beliau Khairul Azman Mohamed turut angkat kaki dari pasukan.

"Ternyata Presiden KFA selama ini hanya menyembunyikan masalah pasukan dengan menyalahkan orang lain dan cuba mengalih isu dalaman dengan seronok troll pasukan lain,"katanya.