Tunku Imran cadangkan kerajaan buka kemudahan sukan untuk awam
Penaung Persatuan Undang-Undang Sukan Malaysia (SLAM) Tunku Imran Tuanku Ja’afar mencadangkan untuk kerajaan membenarkan kemudahan sukan yang kurang digunakan, dibuka untuk kegunaan orang awam.
Mantan Presiden Majlis Olimpik Negara (OCM) itu berkata dengan membenarkan orang awam menggunakan fasiliti dan dewan di sekolah atau yang dimiliki kerajaan, ia akan dapat membantu meningkatkan tahap sukan di negara ini.
“Selepas pandemik Covid-19, terdapat banyak perubahan dari segi dana terhadap acara sukan di Malaysia, terutamanya berkaitan dengan fasiliti. Kami berharap kerajaan akan dapat membantu.
“Ia tidak semestinya dari segi kewangan, tetapi dengan kebenaran untuk orang ramai menggunakan fasiliti dan kemudahan yang ada, sebagai contoh stadium dan dewan yang tidak digunakan untuk acara sukan,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Undang-Undang Sukan dan Timbang Tara SLAM 2022 di Petaling Jaya, semalam.
Tunku Imran berkata kerajaan telah menyediakan fasiliti terbaik untuk atlet, namun fasiliti di sekolah masih tidak boleh digunakan sepenuhnya oleh orang awam.
“Jadi apa yang perlu kerajaan lakukan ialah membenarkan padang sekolah digunakan oleh kumpulan tertentu yang berkaitan dengan sekolah seperti ibu bapa, alimni dan komuniti tempatan untuk cuba menggunakan padang tersebut,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/11b24eddaae84ed57290e45f41c4bac8.jpg)
