ABK22: Perebutan gelaran Penjaga Gol Terbaik tanpa Farizal
Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) yang dijadual berlangsung minggu hadapan bakal menyaksikan pemenang baharu bagi kategori Penjaga Gol Terbaik selepas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohd Farizal Marlias tidak disenarai pendek.
Bagi edisi kali ini, tiga penjaga gol yang masing-masing mempunyai reputasi tersendiri bakal merebut gelaran itu ialah Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dari Negeri Sembilan FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Petaling Jaya City FC) dan Muhammad Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC).
Kalamullah Al-Hafiz berkata beliau terkejut apabila namanya sekali lagi disenarai pendek buat musim ketiga berturut-turut, namun tidak meletakkan harapan tinggi kerana berasakan prestasinya musim ini tidak begitu memuaskan berbanding dua calon lain.
“Tercalon dalam tiga terbaik sudah buat saya gembira dan semuanya bergantung kepada rezeki untuk menang memandangkan saingan agak hebat daripada dua calon lain.
“Namun, saya mahu dedikasikan pencalonan ini kepada PJ City yang memberi saya ruang untuk beraksi selama empat musim. Tanpa sokongan mereka, siapalah saya dan mungkin tidak berada seperti hari ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Sementara itu, Muhammad Rahadiazli berbangga apabila disenarai pendek buat pertama kali dan menganggap itu sebagai simbol kepada usaha kerasnya untuk bangkit daripada kecederaan Anterior Cruaciate Ligament (ACL) yang dialami musim lepas.
“Saya kembali diberi ruang untuk bermain dan saya ucapkan terima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat, tetapi saya sedikit terkilan kerana tidak dapat bawa pulang trofi ke bumi Terengganu musim ini dan saya harap untuk terus belajar jadi yang terbaik,” katanya.
Sebagai rekod, Mohd Farizal yang juga penjaga gol berpengalaman negara berjaya mengungguli anugerah itu sejak empat musim lepas.
Ahmad Syihan, Kalamullah Al-Hafiz dan Muhammad Rahadiazli kini berada dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dari 20 Dis sehingga 16 Jan depan.
ABK22 yang mempertandingkan keseluruhan 16 kategori termasuk Pemain Paling Bernilai (MVP) akan berlangsung secara maya pada 15 Dis ini.
Pada ABK21, anugerah MVP dirangkul pemain sayap muda JDT Arif Aiman Mohd Hanapi sekali gus melengkapkan musim gemilangnya bersama skuad Harimau Selatan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/5b092bead35498aead367b6125afe43e.jpg)
