Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Skuad Maghribi terus sambut kemenangan dengan ahli keluarga
Diterbitkan:  Dec 11, 2022 4:13 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Di tengah kehangatan dan kerancakan Piala Dunia yang semakin menghampiri kemuncaknya, pasukan Maghribi bukan saja melakar sejarah gemilang buat Afrika.

Sebaliknya skuad itu menunjukkan cara meraikan detik gembira dengan cara yang lebih bermakna. Mereka mengingatkan orang ramai - secara tidak langsung - kepada orang yang sentiasa ada di belakang: keluarga.

Sebelum ini Achraf Hakimi Mouh, 24, sudah beberapa kali meluru kepada ibunya, Saida. Detik Achraf dicium ibunya sudah tular dan menarik perhatian ramai.

Hari ini beberapa lagi pemain skuad kendalian Walid Regragui mengajak ibu atau ahli keluarga masing-masing merayakan kemenangan gemilang mereka menundukkan pasukan pilihan, Portugal.

Misalnya Sofiane Boufal yang kelihatan menari bersama ibunya di atas padang. Tidak ketinggalan Walid, 47, yang mendapatkan ibunya, Fatimah, di tempat duduk penonton.

Achraf Hakimi pula menyertai pemain pertahanan Maghribi, Romain Saiss yang ketika itu bersorak kegembiraan dengan anak lelakinya.

Penjaga gol kebanggaan Maghribi, Bono - atau nama sebenarnya Yassine Bounou - berkongsi kegembiraan dengan anak lelakinya, Isaac. Kanak-kanak tersebut kelihatan memakai sarung tangan penjaga gol berkenaan.

Setakat ini Bono berjaya mengawal gawang pasukannya dengan baik apabila hanya satu gol lawan yang melepasi kawalannya.

Media melaporkan, dalam perlawanan membabitkan Maghribi, ahli keluarga setiap pemain memang dibenarkan berada berhampiran dengan mereka untuk membakar semangat masing-masing.

Menceritakan perlunya sokongan daripada keluarga, Sofiane berkata, ibu adalah manusia yang paling penting dalam hidupnya.

"Sudah tentu (dia menangis), emosi yang dibawa perlawanan ini akan membuatkan semua orang tertekan.

"Dan sokongan daripada adalah perkara yang sangat penting," kata pemain kelahiran Paris dan kini mewakili kelab Angers di Legue 1 Perancis selepas mereka mengalahkan Sepanyol baru-baru ini.

Memang ada beberapa pemain Maghribi yang lahir di luar namun memilih bermain untuk negara terbabit sebagai menghargai susur galur keluarga masing-masing.

Achraf sendiri lahir di Madrid, Sepanyol.

Dengan kemenangan 1-0 mengalahkan Portugal malam tadi, Maghribi akan bertemu satu lagi pasukan pilihan, Perancis, dalam pusingan separuh akhir.

Perancis kini berada di tempat keempat dalam senarai pasukan terbaik dunia Fifa, manakala Maghribi di tempat ke-22. Portugal pula berada di kedudukan kesembilan.

Perancis juga merupakan juara Piala Dunia 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS