Kejohanan Triathlon Tanjung Bidara Challenge, yang dianjurkan secara tahunan sebelum ini, akan dijadikan sebagai acara sukan lasak dwitahunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula tahun ini.

Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan (OPLAT) Tentera Darat Mejar Jeneral Malek Razak Sulaiman berkata ia akan digantikan dengan pertandingan ‘orienteering’ atau kembara berpandu arah di peringkat ATM yang dijadualkan pada pertengahan Mei 2023 dan triathlon itu akan dianjurkan semula pada 2024.

“Kejohanan ini sememangnya dinantikan saban tahun kerana atlet terbaik akan dipilih untuk mewakili ATM ke peringkat lebih tinggi selain penyertaannya mendapat sambutan amat menggalakkan daripada peserta dalam kalangan warga tentera, orang awam malah dari luar negara.

“Menerusi sukan seumpama ini, saya yakin ATM mampu melahirkan atlet berbakat untuk mewakili negara di pentas antarabangsa dan berdasarkan rekod, beberapa kejayaan berjaya dirangkul oleh Persatuan Sukan Lasak ATM termasuk di kejohanan seperti Ironman Malaysia di Langkawi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kejohanan Triathlon Tanjung Bidara Challenge 2022 di Alor Gajah, Melaka, hari ini.

Turut hadir Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) Mejar Jeneral Nubli Hashim.

Mengulas lanjut, Malek Razak berkata kejohanan itu, yang merupakan sukan teras dan acara tradisi ATM, dianjurkan setiap tahun sebelum ini agar warganya sentiasa cergas, lasak dan kompetetif, terpaksa ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Beliau juga berkata empat kategori dipertanding iaitu terbuka individu lelaki dan wanita selain senior dan veteran, relay atau berganti-ganti, antara perkhidmatan serta antara formasi tentera darat.

Katanya secara keseluruhan, seramai 397 orang mengambil bahagian pada kejohanan kali ini yang turut membabitkan 10 peserta dari lapan negara iaitu Afrika Selatan, Great Britain, Australia, Kanada, Jerman, Myanmar, Belanda dan Sepanyol.

Peserta triathlon itu perlu melaksanakan tiga disiplin iaitu berenang (1.5 kilometer), berbasikal (40 km) dan berlari (10 km).

- Bernama