Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dilihat cuba mengendurkan kemarahan badan sukan negara terhadap timbalannya Adam Adli Abd Halim yang menuduh pihak itu dibelenggu rasuah.

Yeoh juga memberi jaminan bekerjasama sepenuhnya dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) demi kebajikan atlet bagi memastikan perancangan sukan berjalan lancar tahun depan. 

Malah, katanya, pihaknya tiada masalah berganding bahu dengan kepimpinan MOM diketuai Mohamad Norza Zakaria setelah badan induk itu terguris dengan kenyataan Adam Adli. 

“Saya telah meluahkan hasrat saya sebagai menteri belia dan sukan dan saya juga telah mendengar ucapan Tan Sri (Norza)... sebenarnya apa yang kita mahukan adalah sama,” dia dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Mohamad Norza Zakaria

Norza pada 13 Disember berkata kenyataan Adam Adli tidak wajar, tidak adil, prejudis serta tidak mempunyai justifikasi atau disokong oleh bukti.

MOM adalah badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA).

Adam Adli tidak memberikan jawapan balas terhadap bidasan itu. 

Bagaimanapun timbalannya dalam Pemuda PKR Kamil Munim menggesa kerajaan supaya mengkaji cara untuk menggantikan ahli politik yang memegang jawatan dalam pertubuhan sukan.

Adam Adli Abd Halim

Kamil juga berkata kenyataan Adam Adli bahawa badan sukan negara dibelenggu rasuah cuma mengulangi pendirian dan kenyataan perdana menteri.

Bahkan, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa bulan lalu jelas menyebut bahawa wujud aktiviti rasuah dalam industri sukan negara.

Sementara itu, Yeoh berkata, MOM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sama-sama memperjuangkan kebajikan atlet. 

“...jadi lebih baik sekarang kita bekerjasama dengan erat untuk kita bangunkan (arena sukan) bersama.. dan ya memang tiada masalah antara kami,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-203 di Kuala Lumpur.