Walaupun akan berhadapan lawan yang sukar, Harimau Malaya akan mengekalkan gaya permainan dinamik dan menarik ketika berhadapan Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022, malam esok.

Ketua Jurulatih Kebangsaan Kim Pan-gon berkata walaupun kedudukan ranking Thailand lebih baik berbanding Malaysia, namun ia tidak akan mengubah gaya permainan Malaysia untuk mendapatkan keputusan positif di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

“Kita semua tahu pasukan ranking Thailand sekitar 100, jadi kita perlu hormati apa yang mereka telah lakukan sejak beberapa tahun lepas, termasuk menjadi juara edisi lalu. Saya rasa mereka berhak mendapat rasa hormat kita.

“Tetapi hormat itu bermakna kami akan melawan mereka bermati-matian, jadi penuh hormat dan kekuatan penuh melawan Thailand.

"Jadi kami akan kekalkan DNA permainan dan gaya Malaysia bagi membuatkan penyokong Harimau Malaya bangga,” katanya pada sidang media praperlawanan di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysia mempamerkan gaya permainan dinamik dan menarik ketika mengalahkan Singapura 4-1 di Stadium Bukit Jalil Selasa lalu untuk mendapat tempat kedua dalam kumpulan B, sekali gus layak diri ke separuh akhir.

Pan-gon mengambarkan ia prestasi terbaik pasukan kebangsaan di bawah kendaliannya.

Jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun itu berkata Thailand secara tradisinya amat bagus ketika menyerang dengan pemain yang memiliki kemahiran dan kebolehan individu yang baik.

Sementara itu Pan-gon berkata dia kagum dengan kecekapan pemain Malaysia yang cepat memahami arahan dan informasi baru, sama ada berkaitan pasukan negara ataupun lawan.

“Saya rasa pemain kita amat bijak, mereka cepat mengadaptasi, kami tidak dapat lakukan dengan banyak ketika berlatih, tetapi banyak ada komunikasi antara kami.

"Mereka melakukannya dengan baik apabila kami katakan sesuatu dan mereka dapat melakukannya.

“Saya penuh yakin walaupun Thailand berbeza daripada pasukan lain, kami mempunyai perancangan dan tidak akan mempunyai masalah untuk dilaksanakan,” katanya sambil mengesahkan pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee tidak akan dapat diturunkan esok kerana sedang dalam proses pulih daripada kecederaan.

Sementara itu pemain tengah Malaysia, Brendan Gan, yakin pasukan kebangsaan akan berhadapan Thailand dengan mentaliti kemenangan seperti perlawanan sebelum ini, sambil mengharapkan sokongan padu penyokong bagi menaikkan semangat pemain.

“Tentu sekali menang - itulah yang kami sentiasa mahu tanpa mengira siapa pihak lawan.

"Kami bermain untuk menang, gaya permainan kami ialah untuk menyerang dan jaringkan gol sebanyak yang boleh. Kami akan bermain lagi esok dan bermain dengan cara yang sama, bermain untuk menjaringkan gol.

“Bukit Jalil satu persekitaran yang berbeza, amat menarik untuk bermain di situ, akan meremang setiap kali bermain di situ, jadi ia akan jadi perlawanan yang menarik dan kami akan bermain di situ untuk menang dan semoga kami akan dapat melakukannya,” kata ketua pasukan Selangor berusia 34 tahun itu.

Untuk rekod, Malaysia menewaskan Thailand dengan kelebihan gol di tempat lawan selepas seri 0-0 di Bukit Jalil dan seri 2-2 di Bangkok pada separuh akhir edisi 2018.

Malaysia bagaimanapun tewas 2-3 kepada Vientam pada perlawanan akhir.

Selepas perlawanan pusingan pertama separuh akhir di Bukit Jalil, Harimau Malaya akan bertandang ke Bangkok untuk perlawanan timbal balik di Stadium Tammasat pada 10 Jan.

- Bernama