Kelab Reims kena denda RM115,600 setiap kali menang
Bagaimana agaknya kelab Reims mengharungi persaingan di Ligue 1 Perancis?
Setakat ini daripada 20 perlawanan yang dilalui, baru empat kali kelab itu kecundang. Sebelas kali lagi mereka berjaya seri sekali gus mencuri mata daripada setiap lawan yang dilayan.
Hanya lima kali Reims mencatat kemenangan.
Hasil daripada pencapaian itu Reims mengumpul 26 mata, meletakkan mereka berada di kedudukan ke-11.
Selain membawa misi mencari mata sebanyak mungkin, Reims sebenarnya menghadapi cabaran di liga tersebut dengan membawa 'beban' tersendiri.
Hal itu kerana kelab tersebut dibimbing dan diuruskan oleh seorang anak muda yang tidak memiliki kelayakan menggalas tugas tersebut, Will Still.
Disebabkan keadaan itu pihak pengelola Ligue 1 mengenakan denda sebanyak RM115,620 (£22,000) kepada Reims setiap kali mereka turun ke padang.
Keadaan itu akan berlanjutan selagi anak muda berusia 30 tahun terbabit terus menjadi pengurus kelab tanpa lesen profesional yang ditetapkan oleh UEFA.
Dilahirkan oleh ibu dan bapa British di Belgium, Still masih dalam proses mendapatkan kelayakan berkenaan. Selagi belum diiktiraf, dia dianggap tidak layak mengemudi mana-mana pasukan dalam Ligue 1.
Dia dilantik menguruskan Reims pada Okt tahun lalu. Sebelum itu dia merupakan penolong pengurus kelab berkenaan.
Still dijangka akan terus memegang jawatan pengurus Reims sehingga musim semasa berakhir pada Okt tahun ini.
Pencapaian terkini Reims menunjukkan mereka hanya kalah sekali dalam 17 perlawanan. Pada 30 Jan lalu mereka menjinakkan pasukan teratas liga - yang dibarisi para bintang bola sepak bertaraf dunia - Paris Saint Germain apabila terikat 1-1.
Ditanya mengenai 'dilema' dihadapi kelabnya, Still secara berjenaka berkata, mereka sudah mencapai persetujuan untuk isu tersebut, iaitu dia tidak perlu membayar denda.
"Kata kelab ini, mereka sedia 'melabur' untuk kerjaya saya asalkan kami terus menang," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/1c2bc871ea975220fb84d67cfebe0c26.jpg)
