Syed Saddiq bengang guru guna agama untuk mendiskriminasi
Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menganggap tindakan pihak guru yang menggunakan agama sebagai faktor membolehkan seorang pelajar berpeluang menyertai skuad bola sepak sebagai "memualkan".
Katanya sebagai seorang guru, mereka sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada orang lain khususnya dalam kalangan pelajar, bukan sebaliknya mendiskriminasi sesiapa.
"Berita yang memualkan!" ciapnya sambil melampirkan laporan berita Malaysiakini.
Semalam Malaysiakini melaporkan bagaimana seorang guru didakwa memberitahu pelajar bukan Islam bahawa peluang mereka untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan menjadi lebih cerah jika memeluk Islam.
Ibu pelajar terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Vasan mendakwa dia mendapat tahu mengenai isu berkenaan pada 3 Feb lalu selepas anaknya menunjukkan mesej dalam kumpulan Whatsapp untuk kelas mereka.
“Apabila saya meneliti mesej itu, saya perasan bahawa cikgu tersebut beritahu anak saya sekiranya dia ingin menyertai pasukan kebangsaan, dia perlu beragama Islam.
“Dia kemudian menggalakkan anak saya menukar agama malah mencadangkan nama Islam," katanya.
Menurut Syed Saddiq sukan adalah untuk semua orang dan ia tidak sepatutnya menjadi alat untuk memecah-belahkan masyarakat.
"Sukan adalah landasan terbaik untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia, bukan sebaliknya," kata ahli parlimen Muar itu lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/303360e248d6fe9609de4ffaa2db568b.jpg)
