Perikatan Nasional (PN) hari ini “mengecam sekeras-kerasnya” penggantungan terhadap atlet hoki negara Hanis Nadiah Onn daripada mewakili pasukan kebangsaan dalam pertandingan antarabangsa termasuk Sukan SEA Kemboja 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Belia dan Sukan Ahli Dewan Rakyat PN Ahmad Fadhli Shaari menganggap tindakan itu sangat keras berbanding dengan kesalahan yang didakwa dilakukan Hanis Nadiah.
“Tindakan ini sangat keras berbanding kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Hanis Nadiah, apatah lagi dia sendiri telah memohon maaf secara terbuka terhadap ciapan yang dibuatnya dan memadam komen tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jawatankuasa siasatan sendiri, kata Ahmad Fadhli, mengakui Hanis Nadiah memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.
Bahkan jurulatih atlet itu sendiri menyatakan bahawa dia memiliki ramai rakan hoki dalam kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan.
"Ini bermaksud apa yang ditulis langsung tidak mempunyai niat untuk membangkitkan elemen perkauman dan rasis seperti yang didakwa oleh sebahagian netizen," katanya lagi.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Hanis Nadiah digantung daripada mewakili pasukan hoki negara susulan komennya yang didapati berbaur perkauman.
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan berkata Hanis Nadiah merosakkan imej pasukan dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), yang jelas melanggar kod etika badan itu.
Sehubungan itu, jawatankuasa siasatan memutuskan agar KHM tidak mempertimbangkan Hanis Nadiah daripada mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja pada tahun ini.
Ahmad Fadhli yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas menggesa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yoeh agar campur tangan dalam isu berkenaan dan menarik balik penggantungan Hanis Nadiah.
"Tindakan penggantungan ini akan menjejaskan masa depan Hanis Nadiah, sekali gus menjejaskan peluang skuad negara untuk meraih pingat di dalam Sukan SEA Kemboja.
"Saya yakin menteri akan bertindak bijaksana di dalam menangani isu ini," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS dan PN.
