Penganjuran Pesta Angin Timur 2023 (PAT2023) bukan sekadar sukan rakyat tetapi dapat dijadikan medium menyatukan rakyat dalam membentuk masyarakat MADANI, kata Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

"Kita di peringkat kerajaan negeri berharap PAT2023 dapat dijadikan platform bagi menyemaikan semangat perpaduan rakyat berbilang kaum bukan hanya dari Perlis sebaliknya seluruh negara yang bertandang ke acara tahunan ini," katanya kepada Bernama ketika mengunjungi rerurai Bernama di PAT2023 berlangsung di Kampung Sungai Padang hari ini.

Konsep MADANI diilhamkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ini mampu membentuk negara ke arah masa depan yang lebih maju berlandaskan nilai-nilai etika bersesuaian dengan masyarakat pelbagai kaum.

PAT 2023 merupakan program dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kerajaan Negeri Perlis berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Mohd Shukri berkata kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada MOTAC kerana menganjurkan program ini yang dapat membantu ekonomi penduduk setempat.

"Sebelum ini, masyarakat di Kampung Sungai Padang tertunggu-tunggu PAT tapi kali ini mereka bertuah apabila PAT2023 dianjur di Arau," katanya.

Katanya, selain menjual makanan dan minuman terdapat juga penduduk yang menawarkan perkhidmatan parkir kenderaan bagi memudahkan pengunjung ke PAT2023.

Mohd Shukri berkata beliau yakin sasaran untuk menerima 500,000 pengunjung dapat dicapai berdasarkan sambutan yang diterima pada hari pertama dan kedua.

"Saya yakin kita mampu capai sasaran 500,000 pengunjung atau setidak-tidaknya 80 peratus daripada sasaran," katanya.

- Bernama