Pearly Tan-M Thinaah gagal ke final Terbuka Jerman
Hasrat beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah melangkah ke final Terbuka Jerman tidak kesampaian selepas tewas kepada pilihan pertama kejohanan, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun pada aksi separuh akhir awal pagi tadi.
Dalam kejohanan yang berlangsung di Mulheim itu Pearly-Thinaah selaku beregu nombor enam dunia terpaksa akur apabila mudah ditundukkan 22-24 dan 13-21 dalam perlawanan selama 42 minit.
Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah yang juga pilihan ketiga kejohanan pernah melakukan perhitungan ke tas Nami-Chiharu sebanyak tujuh kali.
Namun gandingan Malaysia itu hanya sekali saja mampu menewaskan pasangan Jepun terbabit iaitu pada Kejohanan Terbuka Perancis pada Okt tahun lepas.
Nami-Chiharu yang kini menghuni nombor dua dunia akan bertemu Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan yang juga pilihan kelapan kejohanan pada pentas final pada jam 12 tengah malam ini.
Kini, fokus Pearly-Thinaah yang juga juara Terbuka Perancis 2022 ialah menghadapi saingan All England yang akan membuka tirai pada 14 Mac ini.
Mereka dijadual bertemu pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara pada pusingan pertama.
- Bernama
/file/1214/1ffe5fa7d171bc36797b5ed93a4a2779.jpeg)
