Legenda bola sepak negara Khalid Ali kini berdepan ujian tidak terduga apabila dia disahkan menghidap kanser paru-paru, baru-baru ini.

Menceritakan detik sebelum disahkan menghidap penyakit berkenaan, bekas pemain tengah skuad kebangsaan era 1980-an itu berkata tahap oksigen dalam badannya pernah menurun kepada 40 peratus walaupun sekadar berdiri dan berjalan selama tiga hingga empat jam.

Khalid yang merupakan antara watak penting di sebalik kejayaan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 berkata berat badannya juga turun mendadak sebanyak 17 kilogram dalam tempoh satu setengah bulan susulan hilang selera makan.

“Saya nampak kuat tetapi saya perlukan juga doa daripada semua, kawan-kawan dan peminat, mana tahu doa seorang daripadanya dapat menyembuhkan.

“Hari ini SJMC (Pusat Perubatan Subang Jaya) ada hubungi dan memberitahu keputusan (mengenai tahap kanser) sudah ada dan saya perlu berjumpa doktor pada 10 April ini,” katanya dalam nada tenang dan penuh emosi ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Khalid, perjumpaan dengan doktor pada 10 April nanti ialah bagi mendapatkan keputusan akhir mengenai tahap kanser dihadapinya sebelum memulakan proses rawatan.

“Ramai juga bagi idea dan nasihat untuk cuba dapatkan rawatan tradisional dan sebagainya tetapi saya rasa biar tunggu keputusan doktor dulu, selepas itu baru kita tahu arah (ikhtiar) mana kita nak pergi,” katanya.

Dalam pada itu, biarpun sedang diuji Khalid yang juga pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan bersyukur masih diberi kekuatan untuk menjalani ibadah puasa malah bersemangat untuk bangun bersahur.

“Alhamdulillah dapat berpuasa, hanya tiga hari tinggal kerana melakukan pemeriksaan seperti endoscopy dan CT (computerized tomography) scan dan saya juga bangun sahur makan kurma, minum susu dan makan ubat,” kata bekas pemain berusia 65 tahun itu.

Sementara itu, bekas pemain Selangor dan Kuala Lumpur itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang membantu menguruskan dan menampung rawatannya.

- Bernama