Malaysia membelasah Singapura 7-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B pada saingan bola sepak lelaki di Sukan SEA Kemboja 2023.

Bagaimanapun kemenangan besar itu tidak memberi sebarang makna buat skuad bawah 22 tahun (B-22) negara yang telah pun tersingkir awal lebih awal.

Dalam aksi di Stadium Prince itu, T Saravanan meledakkan empat gol, sekali gus menjadi penjaring terbanyak bagi skuad negara dalam kempen kali ini.

Pemain Kuala Lumpur City itu membuka tirai jaringan menerusi rembatan pada minit ke-14 selepas bijak memperdayakan pertahanan lawan.

Haqimi Azim kemudian menggandakan kedudukan negara apabila menanduk masuk bola hantaran lintang daripada Saravanan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Saravanan sekali lagi meledak gol selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan pada minit ke-48 di separuh masa kedua.

Dua lagi gol disumbangkan Saravanan pada minit ke-53 dan ke-62 sebelum Mukhairi Ajmal menyumbangkan gol keenam negara pada minit ke-87.

Kemenangan bergaya Harimau Muda dilengkapkan oleh Mohd Aiman Afif menerusi gol ketujuh pada masa kecederaan separuh masa kedua.