Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Wilson Quaik raih pujian lepas tamatkan perlumbaan dalam keadaan cedera
Diterbitkan:  May 12, 2023 1:43 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Atlet balapan dan padang, Wilson Quaik menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang kagum dengan kesungguhannya selepas klip video dia cuba menamatkan perlumbaan 1500m dalam keadaan tercedera pada Sukan Asia Tenggara (SEA) 2023 di Kemboja tersebar dalam talian.

Dalam video berdurasi satu minit dan lima saat yang disiarkan di Facebook, Quaik kelihatan mendahului pada pusingan akhir perlumbaan 1500m sebelum dia tiba-tiba mula terhenjut dan rebah ke tanah di luar trek tidak lama kemudian.

Dia kemudian dilihat mencengkam kaki kanannya ketika pegawai pertolongan cemas bergegas ke sisinya.

Sementara itu, dua pesaingnya yang berada di belakangnya pantas memintasnya.

Dilaporkan bahawa Quaik telah hilang kelayakan selepas terjatuh.

Sungguhpun begitu, ahli sukan 19 tahun itu akhirnya bangkit semula dan terus berlari ke garisan penamat walaupun ketinggalan jauh di belakang dua atlet lain.

Video Facebook yang ditonton kira-kira 230,000 kali ketika berita ini ditulis, menyaksikan rakyat Malaysia melahirkan rasa bangga terhadap Quaik yang mengatasi kesakitannya untuk menamatkan perlumbaan.

Ramai yang menggelarnya sebagai pejuang yang berjasa untuk menaikkan imej dan maruah negara melalui kegigihannya.

Ada yang menyifatkan dia sebagai wira dan berkata dia harus dijadikan contoh kepada semua rakyat Malaysia.

Ini adalah penampilan sulung Quaik di Sukan SEA. Atlet muda itu, yang berlatih dalam dekathlon sejak berusia 15 tahun, sebelum ini memecahkan rekod Sukan Malaysia tahun lalu dengan mencatat skor 6,230 di Bukit Jalil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS