Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sukan Asia: Makaf optimis akhiri penantian pingat emas selepas 12 tahun
Diterbitkan:  May 22, 2023 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) optimis untuk menamatkan penantian 12 tahun tanpa kilauan emas dalam acara itu pada Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China, September ini.

PresidennyaNur Az, mi Ahmad berkata persiapan rapi sedang giat dilakukan barisan atlet negara yang akan turut menjalani latihan selama sebulan di Mesir, Jun ini dan seterusnya di Jepun dan Vietnam.

"Persediaan ini juga bagi menghadapi Kejohanan Karate Asia ke-19 di Melaka pada 20 hingga 23 Julai ini yang dilihat medan terbaik untuk atlet negara menguji kemampuan dan meningkatkan prestasi mereka.

"Di Kejohanan Karate Asia ini kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu emas dapat dihasilkan daripada mana-mana disiplin sama ada kata atau kumite," katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri MAKAF di Ujong Pasir di Melaka, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam yang juga Penasihat Makaf.

Nur Azmi berkata pemilihan atlet bagi Sukan Asia adalah berdasarkan prestasi mereka pada Kejohanan Karate Asia itu yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Katanya dengan kehadiran jurulatih baharu dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy, selain komitmen dan semangat skuad karate negara, beliau yakin Malaysia mampu mencapai sasaran dalam kedua-dua kejohanan tersebut.

"Dengan kutipan empat pingat emas, dua perak dan lima gangsa pada Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini yang melepasi sasaran tiga emas ditetapkan, kita percaya ia juga satu persediaan yang baik untuk skuad negara,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Azmi berkata Melaka sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah kejohanan tersebut yang akan disertai 2,000 atlet termasuk 500 atlet para daripada 45 negara.

"Dari segi teknikal bersama jawatankuasa kecil, saya selaku pengerusi dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka (SUK) sebagai penganjur bersama telah mengadakan perbincangan demi perbincangan untuk memastikan kejohanan ini berjalan lancar,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS