Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Zlatan Ibrahimovic bersara daripada bola sepak

Zlatan Ibrahimovic, juga dikenali sebagai Ibra, mengumumkan pengunduran dirinya selepas perlawanan terakhir AC Milan ke atas Verona bagi musim 2022-2023.

Ibrahimovic, 41 memutuskan untuk berpisah dengan Milan ketika kontraknya hampir tamat.

Sebelum perlawanan pada Ahad bermula, para penyokong di bangku penonton dengan penuh semangat melaungkan namanya dan memaparkan sepanduk bertulis "Selamat tinggal", pemandangan yang membuat Ibra menangis, lapor Xinhua.

Pemain veteran Sweden itu, yang sebelum ini bermain untuk pasukan seperti Malmo, Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, Paris Saint-Germain, Manchester United dan LA Galaxy, sebelum kembali ke Milanello pada Januari 2020, memberikan impak yang besar di dalam dan di luar padang.

Bagaimanapun, kecederaan dialami penyerang ini membatasi pergerakannya dan dia hanya membuat empat penampilan musim ini dan hanya berjaya menjaringkan satu gol.

Ibra mengumumkan keputusannya semasa majlis selepas perlawanan, dengan menyatakan: "Sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak, tetapi bukan kepada anda semua.

“Terlalu banyak emosi bercampur baur yang saya alami, Forza Milan dan selamat tinggal."

Ibra berjaya mengumpulkan lebih 30 trofi sepanjang kerjayanya selama 24 tahun.

Dia telah membuat lebih daripada 900 penampilan di peringkat kebangsaan dan kelab, serta berjaya menjaringkan lebih 500 gol.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS