Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hans Isaac, dilantik kerajaan untuk mengetuai Perbadanan Stadium Nasional selama dua tahun.

Pelakon dan pengarah filem itu merupakan seorang daripada 16 individu yang dilantik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menganggotai agensi berkenaan bagi sesi 2023 - 2025.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pelantikan tersebut dibuat bagi memastikan hala tuju perbadanan itu menguruskan kemudahan secara mampan serta mengamalkan tadbir urus korporat yang baik.

Turut diutamakan, kata Yeoh, ialah menyediakan perkhidmatan yang cekap serta profesional kepada semua pihak.

“Perkara itu turut melibatkan usaha bagi merakyatkan fasiliti PSM untuk kegunaan orang awam dalam mempromosi gaya hidup sihat,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KBS semalam.

Hans Isaac atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, dilantik sebagai pengerusi Finas selama setahun, iaitu ketika PH menjadi kerajaan pusat.

Khidmatnya di agensi itu kemudian digantikan oleh Zakaria Abdul Hamid pada Mei 2020, tidak lama selepas PH dijatuhkan kesan daripada Langkah Sheraton.

Selain Selain Hans Isaac, 15 individu lain dari pelbagai latar belakang termasuk wakil sektor korporat, persatuan sukan dan kerajaan dilantik menganggotai perbadanan berkenaan.

Antaranya ialah Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia, Windsor Paul John, personaliti televisyen Zahir Kelvin Ong Abdullah, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS Ramona Mohd Razali.