Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menyasarkan dua pingat emas menerusi skuad skuasy negara pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, September ini.

Pengarah Kejurulatihan SRAM Mejar (B) S Maniam, bagaimanapun berkata mereka tidak meletakkan secara khusus acara menjadi sandaran pingat tersebut kerana skuad negara bakal dibarisi pemain terbaik yang mampu mencapai sasaran di temasya sukan empat tahun sekali itu.

“Bagi Sukan Asia,sama ada perseorangan atau beregu campuran, semua boleh menang sebab pemain dibarisi pemain terbaik, kami harap mereka mampu mempamerkan prestasi yang kami sasarkan bersama MSN dua pingat emas,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman penajaan pakaian pemain skuasy oleh ASICS di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Maniam berkata pemain lelaki di ranking ke-17 dunia Ng Eain Yow bakal menjadi pertaruhan terbaik untuk meraih emas selain beregu campuran turut mampu menyumbangkan pingat di temasya berkenaan.

Katanya, bagi acara perseorangan, Eain Yow dan pemain wanita S. Sivasangari hampir pasti membawa cabaran negara pada temasya sukan berprestij itu, manakala Mohammad Syafiq Kamal dan Aifa Azman merupakan pasangan terbaik untuk beregu campuran.

“Tapi pemilihan pemain beregu campuran masih belum mencapai kata muktamad dan ia hanya diputuskan selepas Kejuaraan Beregu Campuran Asia di Hangzhou, yang menjadi platform untuk melihat gandingan terbaik untuk dipilih ke Sukan Asia nanti,” katanya

Malaysia menyenaraikan tiga gandingan iaitu Mohammad Syafiq-Aifa, Ivan Yuen-Rachel Arnold dan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar-Noor Ainaa Amani Ampandi pada Kejohanan Beregu Campuran Asia 2023 yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Jun ini.

Baru-baru ini, Eain Yow berjaya mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki pada Kejohanan Skuasy Asia di Hong Kong selepas menundukkan pemain India yang menghuni ranking ke-115 dunia, V. Senthilkumar 11-4, 11-5, 11-6.

- Bernama