Pandelela pamer terjunan hambar di Fukuoka
Mengecewakan. Itu kesimpulan dapat dibuat selepas ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong gagal melepasi pusingan kelayakan acara kegemarannya, 10 meter platform wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun hari ini.
Menurut laman sesawang kejohanan worldaquatics.com, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu mempamerkan aksi hambar apabila sekadar menamatkan saingan dengan catatan 256.40 mata untuk berada pada kedudukan ke-24 daripada 36 peserta.
Seorang lagi wakil Malaysia, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj, turut menampilkan prestasi buruk apabila sekadar merekodkan 206.45 mata untuk berada di tangga ke-35.
Pencapaian itu menyaksikan tiada wakil negara berjaya menempah slot ke separuh akhir, selepas kedua-duanya gagal menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik.
Bagi acara berkenaan, penerjun remaja sensasi China Quan Hong Chan nyata berada dalam kelas tersendiri untuk mengungguli pusingan kelayakan dengan catatan 435.60 mata diikuti rakan senegara Chen Yuxi (393.00 mata) dan Andrea Spendolini Sirieix dari Great Britain di kedudukan ketiga (353.90 mata).
Setakat ini, kem terjun negara gagal menghadirkan kilauan pingat sejak kejohanan itu membuka tirai Jumaat lepas.
Kejohanan Akuatik Dunia 2023 akan berakhir 30 Julai ini.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/10/61807750458b96648604326eb886c606.jpg)
