Chong Wei harap kemelut Misbun-BAM berakhir secara baik
Legenda badminton negara Lee Chong Wei berharap kemelut di antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Misbun Sidek dapat berakhir dengan cara baik.
Bagaimanapun katanya terpulang kepada Misbun untuk menerima atau tidak tawaran daripada BAM yang menghulurkan ‘salam perdamaian’ kepada bekas jurulatihnya itu.
“Biarlah Misbun buat keputusan beliau, kita tidak boleh buat apa-apa namun sekurang-kurangnya BAM sudah buat apa yang mahu dilakukan dengan beliau.
"Saya harap isu ini tidak diperbesarkan lagi dan selesai secepat mungkin,” katanya pada sidang media semalam.
Semalam, Presiden BAM Mohamad Norza Zakaria melangkaui keputusan jawatankuasa khas dengan menawarkan Misbun untuk menghabiskan kontrak asalnya di ABM yang sepatutnya tamat hujung tahun ini.
Sekiranya Misbun tidak berminat, Mohamad Norza turut memberi satu lagi pilihan iaitu bersemuka dengan pihaknya bagi menyelesaikan kemelut secara baik.
Tawaran kepada Misbun dilakukan selepas jawatankuasa khas - diketuai Timbalan Presiden BAM V Subramaniam - bagi menyiasat kegagalan skuad negara di Kejohanan Remaja Asia 2023 di Indonesia bulan lepas.
Mereka kemudian membuat keputusan untuk menamatkan khidmat Misbun di ABM.
Jumaat lepas, Subramaniam memaklumkan pihaknya dan Misbun bersetuju secara bersama untuk berpisah.
Bagaimanapun Misbun pada Isnin mendakwa keputusan tersebut bercanggah dengan apa yang dimaklumkan kepada media.
Menurut Misbun, beliau sebenarnya dipecat selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa khas berkenaan.
Skuad remaja negara menampilkan persembahan hambar pada kejohanan berkenaan apabila mereka tumpas kepada juara bertahan, Thailand, 0-3, di peringkat suku akhir acara berpasukan campuran dan tiada seorang pun layak ke separuh akhir bagi saingan perseorangan.
Menyedari BAM menerima kecaman ramai berhubung isu itu, Chong Wei berkata ia adalah hakikat yang perlu ditelan semua pihak memandangkan badminton merupakan sukan popular dan sering mendapat perhatian masyarakat.
Sementara itu, Subramaniam berkata pihaknya akan meneruskan penilaian terhadap prestasi kem beregu remaja di bawah bimbingan Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky, sekali gus menjawab dakwaan bahawa hanya Misbun menjadi sasaran pihaknya.
“Itu (keputusan mengenai Misbun) adalah langkah pertama diambil pasukan petugas, (beregu) kami perlu terus menilai kerana kami tak boleh lakukan semuanya serentak,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/abd14661d6dfb69afca1d422940414d6.jpg)
