Hasrat skuad hoki lelaki negara untuk mencipta sejarah lebih besar tidak kesampaian selepas tewas 3-4 di tangan pasukan tuan rumah, India pada perlawanan akhir kejohanan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, malam tadi.

Kekalahan kepada juara tiga kali di Stadium Mayor Radhakrishnan itu, menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu lebih lama untuk menamatkan penantian merangkul kejuaraan sulung ACT, sejak dianjurkan pada 2011.

Namun, muncul sebagai naib juara tahun ini merupakan satu pencapaian terbaik dilakar skuad Speedy Tigers, selepas menamatkan saingan di tempat ketiga pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.

Pada pertembungan final itu, India terlebih dahulu berada di depan selepas Jugraj Singh menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan, sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan buat Malaysia, menerusi jaringan padang lima minit kemudian.

Skuad negara kendalian A. Arul Selvaraj kemudian mengejutkan India apabila mendahului 2-1, selepas Muhammad Razie Abd Rahim meledak jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-18.

Malaysia yang bersemangat semakin selesa mengawal permainan apabila melebarkan jurang dengan gol ketiga, menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Aminuddin Mohd Zain pada minit ke-28, sebelum kegembiraan pasukan bertukar tragedi bermula di suku ketiga perlawanan.

India bangkit menyamakan kedudukan dalam masa singkat di penghujung suku ketiga, menerusi pukulan penalti Harmanpreet Singh dan jaringan padang Gurjant Singh, masing-masing pada minit ke-45.

Seakan perlawanan diheret ke penentuan pukulan penalti, Akashdeep Singh muncul wira India apabila menjaringkan gol padang empat minit sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil, sekali gus menghadiahkan gelaran keempat buat pasukan itu.

Terdahulu, Jepun mengatasi Korea Selatan 5-3 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di venue sama.

- Bernama