Seperti yang dispekulasikan, Lubnan sah menarik diri daripada pertandingan Pestabola Merdeka 2023, yang dijadualkan pada 13-17 Okt ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman berkata berikutan itu, pihaknya telah mendapatkan pengesahan daripada pasukan pada ranking 110 dunia, Tajikistan untuk menggantikan Lubnan.

Beliau berkata Persatuan Bolasepak Lubnan (LFA) telah menghantar surat rasmi penarikan diri pada Isnin lepas, setelah pasukan itu baru-baru ini telah diundi dalam kumpulan yang sama dengan Palestin dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan bermula pada November nanti. 

Lubnan yang berada dalam ranking dunia ke-100 dan Palestin (ranking 96), turut diundi menentang satu sama lain pada aksi Pestabola Merdeka, manakala skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon mencabar India pada saingan empat penjuru itu.

“FAM mengambil langkah proaktif dengan segera menghubungi beberapa pasukan baharu supaya perjalanan pertandingan itu, yang telah ditetapkan untuk disertai oleh empat pasukan dengan dua hari perlawanan tidak terjejas.

“Biarpun dengan perubahan terbaharu ini, susunan jadual perlawanan berdasarkan ketetapan majlis undian pada 8 Ogos akan dikekalkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengikut jadual terkini, saingan hari pertama (13 Okt) edisi ke-42 Pestabola Merdeka akan menyaksikan Palestin bertemu Tajikistan pada 4.30 petang, diikuti aksi antara Malaysia, yang menduduki ranking 136, melawan India (ranking 99) pada 9 malam.

Pasukan yang menang pada perlawanan itu akan mara ke final yang dijadualkan pada 9 malam, 17 Okt, manakala pasukan yang tewas akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada 4.30 petang hari sama.

- Bernama